Followers

Bersahabatlah Dengan Orang Yang Soleh

Sesungguhnya sesuatu persahabatan itu akan meninggalkan kepada seseorang itu samada kesan yang positif ataupun negatif. Mereka yang berpandangan jauh pasti memahami hakikat ini. Adapun mereka yang jahil akan mengingkarinya. Atas dasar pesanan Baginda Sollallahu'alaihiwasallam; " Tidak beriman seseorang dari kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri", tidak salah sekiranya nasihat dan pesanan ini disampaikan kepada saudara sekalian. Pesanan ringkas; carilah sahabat dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Setiap dari kita mengharapkan segala kemuliaan dan kelebihan dari Allah Taala. Oleh itu, cubalah untuk dedahkan diri untuk memperolehi kemuliaan tersebut. Jalan yang paling mudah untuk memperolehinya ialah mencari murabbi dalam kalangan hambaNya yang soleh sebagai penunjuk jalan serta contoh teladan dalam kehidupan. Segala tingkah laku, perbuatan dan perkataan mereka membawa kita lebih dekat kepada Allah Taala.

Golongan-golongan yang soleh ini adalah golongan yang pernah disebut oleh Allah Taala dalam firmanNya;

" Dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu..."

Mereka adalah golongan yang benar-benar mengenali Allah sebagai Tuhan mereka. Menyedari hakikat bahawa mereka hanyalah seorang hamba kepada Allah Taala Yang Maha Berkuasa. Orang soleh menjadikan Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam sebagai pemandu kepada setiap perjalanan kehidupan.

Allah Taala pernah berfirman;

" Dan sabarkanlah dirimu bersama orang-orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan petang..."

Ketahuilah, sesungguhnya menjadikan orang-orang soleh sebagai contoh teladan serta murabbi kehidupan merupakan jalan terbaik bagi kita untuk mendapat perhatian dari Allah Taala. Para ulama' terutamanya adalah contoh terbaik untuk kita kerana mereka menjadikan Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam sebagai pemimpin perjalanan hidup mereka. Walaupun Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam telah lama meninggalkan kita, hati mereka tidak pernah lekang dari terus mengingati Baginda Sollahu'alaihiwasallam.

Berkata orang yang soleh;

" Janganlah kamu bersahabat melainkan dengan orang yang keadaannya mampu membangkitkan semangatmu serta perkataannya mengingatkanmu kepada Allah Taala. Apabila kamu lalai dia mengingatkanmu (kepada Allah). Apabila kamu sedar, dia membantu kamu (untuk terus mengingatiNya)"

Begitulah perumpaan 'suhbah' bersama hamba Allah Taala yang soleh. Carilah golongan seperti ini yang bakal mendatangkan jutaan manfaat kepada kita serta mengangkat lagi martabat kita di sisiNya. Tidakkah Baginda Sollahu'alaihiwasallam sendiri pernah menyatakan; " Seseorang itu bersama orang yang dicintainya"? Sesungguhnya kecintaan mampu menghubungkan seseorang itu kepada orang-orang yang soleh walaupun jarak dan masa memisahkan antara mereka. Roh dan jiwa mereka sentiasa berhubung. Seumpama cinta kepada Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam yang tetap tertanam dalam jiwa walaupun tidak pernah bertemu.

Pada hari kiamat, akan diseru kepada kepada orang yang saling mencintai kerana Allah Taala; " Di manakah orang yang saling mencintai keranaKu? Di hari yang tiada naungan melainkan naungan ArasyKu". Sesungguhnya urat keimanan yang paling kental merupakan perasaan cinta dan benci kerana Allah Taala sebagaimana hadis yang pernah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya.

Oleh yang demikian, berusahalah untuk mencintai dan mencontohi para ulama' yang soleh. Yakinlah, kecintaan yang timbul dalam jiwa walaupun kita berada jauh dari mereka mampu memimpin kita menuju kejayaan dunia dan akhirat. Cukuplah, tingkah laku dan mutiara kata mereka mampu untuk terus menjadikan jiwa kita terus kepada Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam.

Jauhi Dari Pandangan Yang Diharamkan Selepas Melepasi Madrasah Ramadhan!!!

Allah Taala ketika mencipta hambaNya, dia menyusun segala urusan untuk mereka dengan manhaj-manhajNya untuk kebaikan mereka. Bukan untuk manfaatNya!

Bulan Syawal biasanya dipenuhkan dengan rancangan-rancangan yang melalaikan. Pesan ulama’-ulama’ kita; jauhi dari terjatuh dalam perkara yang diharamkan oleh Allah Taala. Cubalah untuk menjadi hamba yang beradab dengan Allah Taala. Bersihkanlah rumah-rumah kita daripada pandangan-pandangan yang tidak baik. Selepas berlalunya Ramadhan, janganlah kita terus mencari dan membeli filem-filem yang melekakan. Beginikah keadaan orang yang diterima amalannya di bulan Ramadhan? Sekiranya dosa seseorang itu telah diampunkan, nescaya mereka akan benci kepada pandangan-pandangan yang diharamkan.

Adakah kita mahu menyahut seruan nafsu ammarah dalam diri yang menyebabkan mata kita akan dibakar oleh api neraka di hari kiamat? Sesiapa yang memenuhkan matanya untuk melihat kepada perkara yang haram dilihatnya, nescaya Allah Taala akan memenuhkan matanya dengan api neraka di hari kiamat. Bersihkanlah rumah kita dari filem-filem dan majalah-majalah yang memaparkan aksi-aksi yang diharamkan. Jauhkanlah rumah kita dari perkara yang akan membawa kepada penyesalan di hari kiamat.

Wahai seluruh umat Islam, kita menanti keistimewaan dan kelebihan yang akan dibawa oleh orang yang berjaya dalam madrasah Ramadhan. Hasil yang akan membawa ketenangan dalam jiwa serta kebaikan dalam masyarakat. Kejayaan yang akan membawa kebahagiaan hidup di dunia serta di hari akhirat.

Salam Aidilfitri

Kita melepasi Ramadhan al-Mubarak. Seluruh umat Islam bergembira menyambut kedatangan Syawal. Sesiapa yang menyambut aidilfitri kali ini dalam keadaan Ramadhannya diterima oleh Allah, bermakna dosanya telah diampunkan oleh Allah. Merekalah yang sebenarnya dan selayaknya bergembira dengan kedatangan aidilfitri ini.

Pepatah menyatakan;

لَيْسَ الْعِيْدُ لِمَنْ تَجَمَّلَ بِالْمَلْبُوسِ والمَرْكُوبْ ;

وَلَكِنَّ العِيْدَ لِمَنْ غُفِرَتْ لَهُ الذُّنُوبْ

لَيْسَ الْعِيْدُ لِمَنْ لَبِسَ الجَدِيدْ ; وَلَكِنَّ العِيْدَ لِمَنْ طَاعَتُهُ تَزِيدْ

Bukanlah raya itu orang yang berhias dengan pakaian dan kenderaan,
akan tetapi raya adalah untuk orang yang diampunkan dosanya

Bukanlah perayaan itu untuk orang yang memakai pakaian baru,
akan tetapi perayaan itu untuk orang yang bertambah ketaatannya

Orang yang diterima Ramadhannya mempunyai ciri-ciri tertentu. Akan zahir dalam dirinya perubahan pada kecintaan dan kesungguhan dalam melakukan amal soleh. Terbit dalam jiwa mereka perasaan untuk menjaga amalan fardhu, memperbanyakkan amalan sunat sekadar yang termampu, amanah dalam perbuatannya dan menjauhi sifat-sifat buruk seperti khianat, menipu, memperdaya dalam keadaan mereka meyakini bahawa mereka akan dihisab di hari muka.

Semoga Allah Taala memasukkan kita dalam golongan hambaNya yang diterima amalannya sepanjang Ramadhan sekaligus diampunkan segala dosa yang telah lalu. Amin….



Selamat Bermusafir Untuk Pelajar Oversea...Semoga Berjaya..

سَافِرْ تُفْلِحْ


مَا فِي المَقَامِ لِذِي عَقْلٍ وَذِي أَدَبِ

مِنْ رَاحَةٍ فَدَعِ الأَوطَانِ واغْتَرِبِ


سَافِرْ تَجِدْ عِوَضًا عَمَّنْ تُفَارِقُهُ

وَانْصَبْ فَإِنَّ لَذِيذِ العَيْشِ في النَّصَبِ


إِنِّي رَأَيْتُ وَقُوفَ المَاءِ يُفْسِدُهُ

إِنْ سَاحَ طَابَ وإِنْ لَمْ يَجْرِ لَمْ يَطِبِ


وَالأُسْدُ لَوْلاَ فِرَاقُ الأَرْضَ ما افْتَرَسَتْ

والسَّهْم لَوْلاَ فِرَاقُ القَوْسِ لم يُصِبِ


وَالشَّمْسُ لَوْ وَقَفَتْ فِي الفُلْكِ دَائِمة

لَمَلَّهَا النَّاسُ منْ عُجْمٍ وَمِنْ عَرَبِ


وَالبَدْرُ لولا أَفُولٌ منه ما نَظَرَتْ

إِلَيْهِ في كل حِيْنٍ عَيْنُ مُرْتَقِبِ


وَالتِّبْرُ كَالتُّرْبِ مُلْقًى في أَمَاكِنِهِ

وَالعُوْدُ في أَرْضِهِ نَوْعٌ من الحَطَبِ


فَإِنْ تَغَرَّبَ هَذَا عَزَّ مَطْلَبَهُ

وَإِنْ تَغَرَّبَ ذَاكَ عَزَّ كالذَّهّبِ

Jamuan Hari Raya KOSTAQ

Jamuan Hari Raya


(Klik gambar utk imej lebih jelas @ Ctrl +-)

Puasa (Siri Akhir)

Habib Zain bin Ibrahim bin Zain bin Sumaith Hafizohullah; Guru kepada Syeikh Hasan al-Kaaf Hafizohullah pengarang kitab at-Taqriratus Sadidah fil Masailil Mufidah ketika menerima kunjungan beberapa orang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di al-Azhar as-Syarif di Jeddah bulan lepas

Antara Sunat-sunat Puasa

1) Menyegerakan berbuka: Sekiranya yakin terbenam matahari. Sekiranya syak, hendaklah dia berjaga-jaga dan melewatkan berbuka

2) Bersahur: Walaupun dengan seteguk air – Masuknya waktu bersahur selepas separuh malam.

3) Melewatkan bersahur: Sekira-kira tidak menyebabkan puasa terbatal kerana terlajak. Sunat imsak (menahan diri dari makan) sekitar 15 minit sebelum Subuh.

4) Berbuka dengan Ruthob dengan bilangan ganjil: sekiranya tiada dengan kurma busrin (kurma mekar yang belum masak), sekiranya tiada dengan tamar, sekiranya tiada dengan air zamzam, sekiranya tiada dengan air biasa, sekiranya tiada dengan manisan yang tidak dimasak, sekiranya tiada dengan manisan yang dimasak.

5) Mendatangi doa berbuka sebagaimana hadis kemudian berdoa dengan doa yang diingini.

6) Menjamu orang yang berbuka: Kerana ganjaran yang besar dijanjikan untuknya.

7) Mandi junub sebelum fajar: Bertujuan keluar dari khilaf dan supaya dia memulakan puasa dalam keadaan suci.

8) Mandi setiap malam dari setiap malam Ramadhan selepas Maghrib bagi menguatkan badan untuk mendirikan malam Ramadhan.

9) Menjaga solat tarawih dari awal malam pertama Ramadhan hingga penghujungnya. Sabda Nabi Sollahu’alaihiwasallam: “ Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, nescaya diampunkan baginya apa yang terdahulu dari dosanya”. Dimaksudkan dengan mendirikan Ramadhan ialah Solat Tarawih.

10) Sangat-sangat penting adalah menjaga solat witir: Dikhususkan witir Ramadhan dengan tiga perkara;

- Disunatkan dilakukan secara berjemaah
- Disunatkan membaca kuat
- Disunatkan membaca qunut di separuh terakhir Ramadhan mengikut pendapat yang muktamad

11) Memperbanyakkan membaca al-Quran dengan tadabbur: Diriwayatkan dari athar; “ Bulan Ramadhan bulan al-Quran”

12) Memperbanyakkan amalan sunat seperti solat sunat rawatib, solat Dhuha, solat Tasbih, solat awwabin.

13) Memperbanyakkan amalan soleh seperti bersedekah, menyambung silaturrahim, iktikaf, menghadiri majlis ilmu, beribadah kepada Allah dengan hati dan anggota badan dan membanyakkan doa-doa yang ma’thur.

14) Bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh terakhir Ramadhan untuk mencari Lailatul Qadar terutamanya pada malam-malam ganjil

15) Memastikan berbuka dengan makanan yang halal.

16) Meninggalkan perbuatan mencerca dan perkara sia-sia

** Berkata al-Imam al-Ghazali, puasa itu terbahagi kepada tiga:

- Puasa orang awam iaitu puasa iaitu berpuasa dari perkara-perkara yang membatalkan puasa
- Puasa al-Khawass iaitu berpuasa dari maksiat
- Puasa Khawassil khawass iaitu berpuasa selain dari Allah.

Rujukan kitab: at-Taqriratus Sadidah karangan Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaaf; Murid kepada al-Habib an-Nasib al-'Allamah al-Muhaqqiq Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah