Followers

Wajib Mempelajari Cara Mencintai Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam

Tidak ada sesuatupun yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam melainkan ianya adalah bekalan terbaik menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kita telah sampai di zaman berleluasanya masalah dan maksiat dalam masyarakat, hati manusia menjadi keras, umat Islam ditindas. Semuanya berpunca dari dosa kita sendiri sebelum menyalahkan orang lain dengan masalah yang menimpa. Apakah ada jalan keluar darinya? Penyelesaiannya adalah taubat kepada Allah Taala, kembali kepada Allah Taala dan menjadikan Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam sebagai contoh teladan dalam seluruh kehidupan kita.

Bagaimanakah caranya untuk bertaubat serta melepaskan diri dari dosa dan nafsu?

Banyakkan berselawat ke atas Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam di waktu siang dan malam. Sesungguhnya mengingati Allah Taala itu menenangkan hati. Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam adalah salah satu dari penyaksian dalam kalimah syahadah yang kita ucapkan. Tidak sempurna keimanan mahupun menjadi Islam dengan hanya mengucapkan 'Lailahaillallah' tanpa menyatakan 'Muhammadur Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam'.

Setiap amalan mungkin ditolak atau diterima melainkan perkara yang bersangkutan dengan Insan dan Jiwa Agung Sayyidina Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam. Solat, puasa, zakat , haji dan amalan-amalan lain yang kita lakukan boleh jadi diterima atau ditolak. Adapun selawat ke atas Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam, Allah Taala menerimanya kerana ianya berkaitan dengan kekasihNya Sollallahu'alaihiwasallam.

Menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Islam hari ini untuk mempelajari cara mencintai Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Umat Islam hari ini kosong jiwanya. Kosong dari mencintai Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Akhlak Baginda Sollahu'alaihiwasallam, agamanya, sifatnya, peribadinya, tarbiyahnya, manhajnya, kecintaan kepadanya telah luput dari rumah-rumah umat Islam hari ini. Rumah mereka diisi dengan perkara yang melalaikan. Ingatan mereka hanya kepada dunia seolah-olah mereka akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.

Bahkan, di masjid-masjid juga telah luput darinya sunnah tinggalan Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Sebagai contoh; antara sunnah adalah memasuki masjid dengan kaki kanan. Sesetengah dari pengunjung rumah Allah tidak mengambil cakna mengenainya. Para ulama' menyatakan amalan ini meninggalkan kesan pada hari kiamat iaitu sesiapa yang menjaga supaya tidak memasuki masjid melainkan dengan kaki kanannya, nescaya kakinya tidak akan tergelincir ketika melintasi titian sirath di hari kiamat. Begitu juga dengan amalan iktikaf. Ramai yang terlepas dari fadhilatnya.

Sedarlah wahai umat Islam, kita telah jauh dari Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Berusahalah untuk mendidik jiwa untuk mencintainya. Elakkan dari dunia bergantung di hati supaya sinar cahaya yang dibawa oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam mampu memasukinya.

Mulakan dahulu dengan sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Sollallahu'alaihiwasallam...

Peluang Bersama Ulama' Murabbi Untuk Semua Rakyat Malaysia


Hiasi Jiwa Dengan Zikir

Sedar ataupun tidak, kita telah memasuki separuh kedua dari bulan Muharram. Bermakna, telah 15 hari umat Islam menyambut Tahun Baru Hijrah 1431. Masing-masing membawa azam baru dengan harapan segala amalan kebaikan yang dilakukan pada tahun sebelumnya diterima Allah Taala di samping segala dosa dan kesilapan mendapat keampunan dariNya.

Mengingati peristiwa Maal Hijrah bukan seperti menghafal sejarah-sejarah lain. Maal Hijrah membawa kita mengenang sirah perjalanan hidup Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Pengorbanan Baginda Sollallahu'alaihiwasallam dalam usaha menyampaikan dakwah Islam ke seluruh alam adalah satu perkara yang sangat unik dalam jiwa umat Islam yang menghayatinya. Perjuangan tersebut diteruskan pula oleh para sahabat kemudiannya para auliya'Nya dalam kalangan para ulama' yang dipilih sebagai pewaris perjuangan para Anbiya' 'Alaihimussolatuwassalam yang terdahulu.

Jumaat adalah antara hari-hari yang sentiasa dibangkitkankan dalam diri kita untuk mengingati Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollahu'alaihiwasallam. Antara amalan yang sangat dituntut pada hari yang dikenali sebagai penghulu segala hari ini adalah amalan berselawat ke atas Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Pernahkah kita melakukan satu muhasabah sepanjang kita dilahirkan di atas dunia ini; banyak manakah selawat yang pernah diungkapkan oleh lisan kurniaan Allah Taala ini? Atau perkataan-perkataan yang tidak berfaedah lebih banyak keluar dari dua bibir anugerah Allah Taala itu?

Realiti hidup hari ini penuh dengan kelalaian. Kita dilalaikan dari mengingati Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam. Marilah sama-sama kita mendidik jiwa supaya benar-benar mencintai Allah Taala dan Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam. Jujur; kita masih jauh dari mengingatinya. Jauh kerana dihanyutkan oleh hasutan hawa nafsu yang sentiasa membawa kita untuk memenuhi kehendak syaitan.

Amalan yang digalakkan untuk umat Islam mengamalkannya di hari Jumaat adalah bacaan Surah Al-Kahfi. Berusahalah sedaya-upaya untuk mengamalkannya. Allah Taala berfirman di dalam Surah Al-Kahfi;

" Adakah kamu mengambilnya (syaitan) dan zuriatnya sebagai penolong selainKu sedangkan mereka itu adalah musuh bagimu? Amatlah buruk balasan bagi orang-orang yang zalim"

Kalau terasa payah untuk membina jiwa yang sentiasa mengingati Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam, marilah kita sama-sama mulakannya dengan hari Jumaat yang mulia.

Semoga dikurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat, amin. Jom mulakan langkah menuju Jannah......


Merindui Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam

Melihat perbicaraan manusia mengenai idola dan bintang pujaan masing-masing, kadang-kadang terfikir: di manakah letaknya Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam dalam jiwa mereka? Pernahkah mereka berusaha untuk mengkaji dan menerokai peribadi agung ini untuk diteladani? Wallahua'alam.

Para sahabat menjadi generasi mulia apabila hidup sezaman dan melihat sendiri keindahan luaran dan peribadi Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam. Para ulama' muslimin bersepakat bahawa orang yang hidup sezaman dengan Baginda Sollahu'alaihiwasallam tetapi tidak melihatnya tidak dikira sebagai sahabat. Oleh sebab itu, umat Baginda Sollahu'alaihiwasallam yang diberi rahmat untuk melihat Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam dalam mimpi telah diberi satu kurniakan yang agung kerana Baginda Sollahu'alaihiwasallam sendiri telah bersabda; " Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, sesungguhnya dia telah melihatku" -Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim-

Para sahabat sangat taajub dengan keindahan Baginda Sollahu'alaihiwasallam sehingga mereka tidak mampu menggambarkannya dengan bahasa lisan. Berkata Sayyiduna Hasan bin Thabit Radiaallahu'anhu;

وأجمل منك لم تر قط عيني‏ ..‏ وأكمل منك لم تلد النساء

خلقت مبرءا من كل عيب ‏..‏ كأنك قد خلقت كما تشاء


Yang lebih cantik darimu tidak pernah dilihat oleh mataku....Yang lebih sempurna darimu tidak pernah dilahirkankan oleh mana-mana perempuan....

Kamu dicipta dalam tanpa sebarang keaiban... Seolah-olah kamu dicipta mengikut kehendakmu

Para Habaib dalam kalangan Ahli Bait Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam

Ulama' adalah pewaris para nabi. Mampu untuk berada dalam majlis para ulama' murabbi adalah satu kurniaan dari Ilahi. Semoga melihat wajah-wajah bercahaya yang mewarisi cahaya-cahaya Baginda Sollahu'alaihiwasallam ini merupakan satu jalan menyucikan hati sehingga hilangnya hijab yang menghalang diri kita untuk melihat keindahan Baginda Sollahu'alaihiwasallam.

Mungkin ramai yang masih tidak tahu kelebihan melihat wajah para ulama'. Seronok mempamerkan wajah kita yang tidak tahu di mana nurnya sehingga terlupa untuk melihat wajah-wajah yang disinari cahaya keimanan ini? Belajarlah untuk lebih menyimpan gambar para ulama' yang jiwanya sentiasa hidup bersama Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam.

Lazimi untuk sentiasa mengingati Baginda Sollahu'alaihiwasallam. Biarlah rasa cinta itu sentiasa subur dengan baja ketaatan. Jangan biarkan ia rosak dengan kemaksiatan yang kita lakukan.

Belajarlah untuk hiburkan jiwa anda dengan mengingati Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam.


Bersahabatlah Dengan Orang Yang Soleh

Sesungguhnya sesuatu persahabatan itu akan meninggalkan kepada seseorang itu samada kesan yang positif ataupun negatif. Mereka yang berpandangan jauh pasti memahami hakikat ini. Adapun mereka yang jahil akan mengingkarinya. Atas dasar pesanan Baginda Sollallahu'alaihiwasallam; " Tidak beriman seseorang dari kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri", tidak salah sekiranya nasihat dan pesanan ini disampaikan kepada saudara sekalian. Pesanan ringkas; carilah sahabat dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Setiap dari kita mengharapkan segala kemuliaan dan kelebihan dari Allah Taala. Oleh itu, cubalah untuk dedahkan diri untuk memperolehi kemuliaan tersebut. Jalan yang paling mudah untuk memperolehinya ialah mencari murabbi dalam kalangan hambaNya yang soleh sebagai penunjuk jalan serta contoh teladan dalam kehidupan. Segala tingkah laku, perbuatan dan perkataan mereka membawa kita lebih dekat kepada Allah Taala.

Golongan-golongan yang soleh ini adalah golongan yang pernah disebut oleh Allah Taala dalam firmanNya;

" Dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu..."

Mereka adalah golongan yang benar-benar mengenali Allah sebagai Tuhan mereka. Menyedari hakikat bahawa mereka hanyalah seorang hamba kepada Allah Taala Yang Maha Berkuasa. Orang soleh menjadikan Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam sebagai pemandu kepada setiap perjalanan kehidupan.

Allah Taala pernah berfirman;

" Dan sabarkanlah dirimu bersama orang-orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan petang..."

Ketahuilah, sesungguhnya menjadikan orang-orang soleh sebagai contoh teladan serta murabbi kehidupan merupakan jalan terbaik bagi kita untuk mendapat perhatian dari Allah Taala. Para ulama' terutamanya adalah contoh terbaik untuk kita kerana mereka menjadikan Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam sebagai pemimpin perjalanan hidup mereka. Walaupun Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam telah lama meninggalkan kita, hati mereka tidak pernah lekang dari terus mengingati Baginda Sollahu'alaihiwasallam.

Berkata orang yang soleh;

" Janganlah kamu bersahabat melainkan dengan orang yang keadaannya mampu membangkitkan semangatmu serta perkataannya mengingatkanmu kepada Allah Taala. Apabila kamu lalai dia mengingatkanmu (kepada Allah). Apabila kamu sedar, dia membantu kamu (untuk terus mengingatiNya)"

Begitulah perumpaan 'suhbah' bersama hamba Allah Taala yang soleh. Carilah golongan seperti ini yang bakal mendatangkan jutaan manfaat kepada kita serta mengangkat lagi martabat kita di sisiNya. Tidakkah Baginda Sollahu'alaihiwasallam sendiri pernah menyatakan; " Seseorang itu bersama orang yang dicintainya"? Sesungguhnya kecintaan mampu menghubungkan seseorang itu kepada orang-orang yang soleh walaupun jarak dan masa memisahkan antara mereka. Roh dan jiwa mereka sentiasa berhubung. Seumpama cinta kepada Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam yang tetap tertanam dalam jiwa walaupun tidak pernah bertemu.

Pada hari kiamat, akan diseru kepada kepada orang yang saling mencintai kerana Allah Taala; " Di manakah orang yang saling mencintai keranaKu? Di hari yang tiada naungan melainkan naungan ArasyKu". Sesungguhnya urat keimanan yang paling kental merupakan perasaan cinta dan benci kerana Allah Taala sebagaimana hadis yang pernah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya.

Oleh yang demikian, berusahalah untuk mencintai dan mencontohi para ulama' yang soleh. Yakinlah, kecintaan yang timbul dalam jiwa walaupun kita berada jauh dari mereka mampu memimpin kita menuju kejayaan dunia dan akhirat. Cukuplah, tingkah laku dan mutiara kata mereka mampu untuk terus menjadikan jiwa kita terus kepada Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam.