Followers

Hiasi Jiwa Dengan Zikir

Sedar ataupun tidak, kita telah memasuki separuh kedua dari bulan Muharram. Bermakna, telah 15 hari umat Islam menyambut Tahun Baru Hijrah 1431. Masing-masing membawa azam baru dengan harapan segala amalan kebaikan yang dilakukan pada tahun sebelumnya diterima Allah Taala di samping segala dosa dan kesilapan mendapat keampunan dariNya.

Mengingati peristiwa Maal Hijrah bukan seperti menghafal sejarah-sejarah lain. Maal Hijrah membawa kita mengenang sirah perjalanan hidup Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Pengorbanan Baginda Sollallahu'alaihiwasallam dalam usaha menyampaikan dakwah Islam ke seluruh alam adalah satu perkara yang sangat unik dalam jiwa umat Islam yang menghayatinya. Perjuangan tersebut diteruskan pula oleh para sahabat kemudiannya para auliya'Nya dalam kalangan para ulama' yang dipilih sebagai pewaris perjuangan para Anbiya' 'Alaihimussolatuwassalam yang terdahulu.

Jumaat adalah antara hari-hari yang sentiasa dibangkitkankan dalam diri kita untuk mengingati Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollahu'alaihiwasallam. Antara amalan yang sangat dituntut pada hari yang dikenali sebagai penghulu segala hari ini adalah amalan berselawat ke atas Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Pernahkah kita melakukan satu muhasabah sepanjang kita dilahirkan di atas dunia ini; banyak manakah selawat yang pernah diungkapkan oleh lisan kurniaan Allah Taala ini? Atau perkataan-perkataan yang tidak berfaedah lebih banyak keluar dari dua bibir anugerah Allah Taala itu?

Realiti hidup hari ini penuh dengan kelalaian. Kita dilalaikan dari mengingati Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam. Marilah sama-sama kita mendidik jiwa supaya benar-benar mencintai Allah Taala dan Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam. Jujur; kita masih jauh dari mengingatinya. Jauh kerana dihanyutkan oleh hasutan hawa nafsu yang sentiasa membawa kita untuk memenuhi kehendak syaitan.

Amalan yang digalakkan untuk umat Islam mengamalkannya di hari Jumaat adalah bacaan Surah Al-Kahfi. Berusahalah sedaya-upaya untuk mengamalkannya. Allah Taala berfirman di dalam Surah Al-Kahfi;

" Adakah kamu mengambilnya (syaitan) dan zuriatnya sebagai penolong selainKu sedangkan mereka itu adalah musuh bagimu? Amatlah buruk balasan bagi orang-orang yang zalim"

Kalau terasa payah untuk membina jiwa yang sentiasa mengingati Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam, marilah kita sama-sama mulakannya dengan hari Jumaat yang mulia.

Semoga dikurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat, amin. Jom mulakan langkah menuju Jannah......


0 comments:

Post a Comment