Selawat Ke atas Baginda Sollahu’alaihiwasallam
Mencapai kecintaan dari Allah Taala dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam adalah suatu kejayaan dan anugerah yang sangat besar dari Allah Taala. Inilah matlamat perhambaan kita kepada Allah Taala selama ini. Inilah perkara yang kita idam-idamkan. Mengucapkan dengan mulut “aku sayang Allah, aku cinta Rasul Sollallahu’alaihiwasallam” memang mudah, tetapi adakah rasa cinta dan sayang ini mendapat perhatian dari Allah Taala dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam? Allah Taala dan Rasulullah Sollallahu’laihiwasallam tidak berhajat kepada cinta kita, tetapi kitalah yang sangat berharap untuk memperoleh kecintaan daripada Allah Taala dan Baginda Nabi Sollallahu’alaihiwasallam. Oleh sebab itu, jangan terlupa untuk memastikan mulut kita sentiasa basah dengan selawat ke atas Baginda Sollahu’alaihiwasallam. Sepuluh kali selawat dari Allah Taala sebagai balasan sekali selawat dari kita ke atas Baginda Sollahu’alaihiwasallam adalah satu nikmat yang tersangat besar dari Allah Taala. Tinggal kita sahaja untuk mengamalkannya. Hanya mereka yang mampu merasai hakikat rahmat ini sahaja yang memahami dan mengerti.
Imam Ahmad, al-Hakim, Imam Baihaqi dan selain mereka pernah meriwayatkan hadis dari Abdul Rahman bin ‘Auf Radiallahu’anha, katanya: “ Suatu hari aku telah mengikut Rasululah Sollallahu’alaihiwasallam dan aku melihatnya masuk ke sebuah kebun yang berada di dalamnya pohon kurma. Aku mengikutnya lalu aku mendapati Baginda Sollallahu’alaihiwasalam sedang sujud – sujud di atas tanah -. Aku menunggu Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Nabi memanjangkan sujudnya dan memanjangkannya lagi sehingga aku menyangka roh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam telah dicabut oleh Allah Taala. Maka, aku pergi kepada Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam untuk melihat keadaan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Lalu Baginda Sollallahu’alaihiwasallam mengangkat kepalanya seraya bersabda; “ Mengapa kamu wahai Abdul Rahman”. Aku berkata: “Engkau meletakkan mukamu di sini sangat lama, aku takut sekiranya rohmu telah dicabut, lalu aku berkata pada diriku; aku tidak akan dapat melihat Rasululah Sollallahu’alaihiwasallam selama-lamanya selepas ini”. Baginda pun bersabda “ Sesungguhnya telah datang utusan dari Tuhanku lalu dia berkata, hendakkah aku berikan kepadamu satu khabar gembira? Sesungguhnya Allah Taala berfirman kepadamu; sesiapa yang berselawat ke atasmu dengan sekali selawat, nescaya Alah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat”.Rasulullah membuktikan kecintaan kepada umatnya sehinggakan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam sujud dan meletakkan mukanya yang mulia di atas tanah tanpa hijab. Baginda Sollallahu’alaihiwasallam memanjangkan sujudnya tanda syukur kepada Allah . Mengapa? Bukanlah kegembiraan Nabi Sollallahu’alaihiwasallam kerana selawat umatnya ke atasnya, akan tetapi kegembiraan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam kerana ganjaran yang dikurniakan ke atas umatnya iaitu gandaan balasan selawat Allah Taala ke atas kita sekiranya kita berselawat ke atas Baginda Sollallahu’alaihiwasallam.
Sekarang, giliran kita buktikan kasih sayang terhadap BAginda Sollahu'alaihiwasallam. Basahkan lidah anda dengan berselawat ke atasnya. Semoga rahmat Allah Taala menaungi setiap kehidupan kita, amin.




0 comments:
Post a Comment