Followers

Setakat Manakah Penghargaan Kita Terhadap Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam?

Sedarkah kita, kita dimuliakan oleh Allah Taala disebabkan kita adalah umat Baginda Sollallahu’alaihiwasallam? Kita mampu untuk merasai pelbagai kelebihan dan rahmat Allah adalah kerana hasil naungan rahmat yang dibawa melalui risalah Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Kesempurnaan agama yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan serta pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam bersama sahabat Ridhwanullahi ‘alaihim ajma’iin.

Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam sanggup mengorbankan segala yang ada pada diri untuk melihat umatnya berbahagia di dunia dan di akhirat. Mengeluarkan manusia dari kegelapan dan kesesatan menuju cahaya kebenaran. Allah Taala menggambarkan kepada kita mengenai keprihatinan Rasulullah Sollalahu’alaihiwasallam terhadap umatnya di penghujung surah at-Taubah. Allah Taala berfirman;

” Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”

(At-Taubah: 128)



Sirah merakamkan bagaimana Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam berjaya mengubah masyarakat jahiliyyah sehinggakan cahaya Islam menyinari seluruh pelusuk dunia. Kesempurnaan akhlak Baginda Sollahu’alaihiwasallam berjaya menarik perhatian masyarakat untuk mengenali seterusnya berpegang teguh dengan islam yang dibawa oleh Baginda Sollahu’alaihiwasallam. Kesempurnaan Baginda Sollahu’alaihiwasallam diakui oleh semua termasuk musuh-musuh Islam sendiri.

قال أحد من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم :

" لَأَنْ أُذْبَحَ أَوْ أُقْتَلَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يُشَاكَى مُحَمَّدٌ صلى الله عليه وسلم بِشَوْكَةٍ "

Maksudnya: Berkata salah seorang dari sahabat: “Sekiranya aku disembelih atau dibunuh lebih baik dari Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam disakiti dengan sebatang duri”

قَالَ أَحَدُ المُشْرِكِيْنَ لِقُرَيْش:

" لَقَدْ دَخَلْتُ عَلَى كِسْرَى وَقَيْصَر وَرَأَيْتُ المُلُوكَ والأَكَابِيْرَ فَمَا رَأَيْتُ أَحَدًا يُعَظِّمُهُ أَصْحَابُهُ كَمَا يُعَظِّمُ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ مُحَمَّدًا "


Maksudnya: Berkata salah seorang dari musyrikin kepada kaum Quraisy: “Aku telah masuk bertemu Raja Parsi dan Raja Rom, dan aku melihat raja-raja dan pembesar-pembesar. Aku tidak pernah melihat seorang pun pengikut yang menghormati mereka sepertimana pengikut Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam mengagungkan Muhammad - Sollallahu’aalaihi wa aalihi wasallam -”

Begitulah kelebihan dan kemuliaan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam. Persoalannya, setakat mana kita bersedia untuk mengorbankan diri untuk Baginda Sollahu’alaihiwasallam?

Firman Allah Taala;

“ Katakanlah (wahai Muhammad): sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah aku nescaya Allah Taala akan mencintaimu”

Para ulama’ sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapatkan cinta Allah Taala tidak kira di waktu senang mahupun susah. Mereka sentiasa berusaha untuk menjadi pengikut setia kepada Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam.

Diriwayatkan Imam Ahmad bin Hambal Rahimahullah apabila menghadapi zaman fitnah dan ujian berat ke atasnya. Beberapa hari berlalu dalam keadaan dia bersembunyi di sisi sebahagiaan orang yang mencintainya. Apabila berlalu tiga hari, Imam Ahmad Rahimahullah bertemu muridnya yang menyembunyikannya dalam rumah tersebut, lalu dia berkata: “ Carilah kepadaku tempat lain untuk aku pergi kepadanya”. Muridnya bertanya: “ Mengapa wahai Imam? ”. Jawabnya: “Carikan kepadaku tempat yang lain”. Murid itu berkata lagi: “ Adakah kamu merasa lebih selamat di tempat lain?”. Imam Ahmad Rahimahullah menjawab: “ Carikan kepadaku tempat lain, aku akan beritahukan kepadamu sebabnya selepas ini”. Lelaki itu berusaha sedaya upaya mencari tempat persembunyian lain untuk Imam Ahmad Rahimahullah sehinggalah dia menjumpainya. Apabila selesai perpindahan itu, lelaki itu berkata: “ Adakah kamu tidak mahu memberitahu kepadaku sebab perpindahan kamu wahai Imam?”. Imam Ahmad Rahimahullah menjawab: : “ Rasullullah Sollahu’alaihiwasallam bersembunyi di dalam gua selama tiga hari sahaja, aku suka untuk menjadikan masa persembunyiaanku sama dengan Baginda Sollahu’alaihiwasallam. Aku mahu mengikuti apa yang dilakukan oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam di waktu susah sebagaimana aku dimuliakan Allah untuk menjadi pengikutnya di waktu aku senang”.

Mulianya para ulama’ terdahulu. Bersungguh-sungguh untuk mencuri perhatian orang yang paling dikasihinya – Sollahu’alaihiwasallam -. Membuktikan bahawa mereka benar-benar mencintai Baginda Sollahu’alaihiwasallam.

Adakah kita termasuk dalam golongan yang sentiasa berusaha untuk melaksanakan syariat Islam yang ditinggalkan oleh Baginda Sollahu’alaihiwasallam? Atau termasuk dalam golongan yang sentiasa cuba untuk mencari alasan untuk meninggalkan perintah Allah Taala dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam?

Resam orang bercinta sanggup melakukan apa sahaja untuk kekasihnya. Jangan sampai cinta kita kepada insan biasa menenggelamkan cinta kita kepada Allah Taala dan Rasulullah Sollalahu’alaihiwasallam. Anda lebih mengerti apa yang berada dalam hati anda. Sekadar muhasabah di hari Jumaat yang mulia. Tepuk dada, tanya amalan.

0 comments:

Post a Comment