Followers

Kalam Sufi

Sebahagian wasiat para Sufi dalam kalangan Salafus soleh; dipetik dari Kitab al-Manhajus Sawiyy karangan ad-Da’ieyatul Islamiyy al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Habib an-Nasib Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah:

Habib Umar; anak kepada Habib Zain sedang menyampaikan kalam taujihat kepada pelajar-pelajar Terengganu yang datang menziarahinya

Berkata seorang lelaki kepada Khalifatul Mu’minin Sayyidina Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah: Nasihatkanlah aku…. Khalifah berkata: Elakkanlah dari kamu bercampur dengan orang-orang yang soleh tetapi kamu tidak mendapat manfaat dari mereka, kamu mencela orang yang melakukan dosa tetapi kamu sendiri tidak menjauhi dosa-dosa itu, kamu melaknat syaitan apabila berada bersama manusia, tetapi kamu mentaatinya di waktu kamu berseorangan”.

Berkata al-‘Arif Billah Sayyidina Ibrahim bin Adham Rahimahullah: Aku bersahabat dengan lelaki-lelaki di bukit Lubnan, mereka menasihatiku: “ Sekiranya kamu pulang ke negerimu nasihatilah penduduknya dengan empat perkara: Sesiapa yang membanyakkan makan tidak akan merasa kelazatan dalam ibadah, sesiapa yang membanyakkan tidur tidak akan mendapati keberkatan pada umur, sesiapa yang mencari redha manusia jangan menunggu redha Tuhan, sesiapa yang membanyakkan kata-kata – cakap berlebihan atau mengumpat – tidak akan keluar dari dunia dalam keadaan Islam”.

Berkata as-sufi al-Jalil Zun Nun al-Misri Rahimahullah: Para Salaf Radiallahu’anhum telah menyampaikan tiga wasiat: “ Pertama: Sesiapa yang memperbaiki keadaan di antaranya dengan Allah Taala, Allah Taala akan memperbaiki keadaan antaranya dengan manusia, Kedua: Sesiapa yang memperbaiki dirinya ketika berseorangan, Allah Taala akan memperbaiki dirinya ketika dia berada bersama manusia lain, Ketiga: Sesiapa yang memperbaiki urusan akhiratnya, Allah Taala akan memperbaiki urusan dunianya”.

Maqam Zun Nun al-Misri di Kaherah

0 comments:

Post a Comment