Followers

Puasa (Siri 1)


Makna Puasa;

Dari segi bahasa: Semata-mata menahan diri. Antaranya Firman Allah Taala tentang Saidatina Maryam: “ Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan ar-Rahman, maka aku tidak akan sesekali bercakap dengan sesiapa pun hari ini” [Maryam:26] . Iaitu: aku bernazar untuk menahan diri dari berkata-kata.
Dari segi syara’: Menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat yang khusus.

Dalil puasa, Firman Allah Taala;

“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa” [al-Baqarah:183]

Waktu difardhukan berpuasa:

Difardhukan pada tahun kedua hijrah pada bulan Sya’ban. Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam telah berpuasa sebanyak sembilan kali Ramadhan. Semuanya ‘nawaqis’ iaitu 29 hari, kurang sehari untuk sempurna 30 hari.

Bulan Ramadhan:

Bulan yang kesembilan dari bulan-bulan arab dan bulan ini adalah seafdhal-afdhal bulan. Dikatakan bulan ini dinamakan dengan Ramadhan kerana sesungguhnya ketika orang arab meletakkan nama bagi bulan-bulan, ketika itu cuaca berada dalam keadaan panas yang bersangatan. Maka, bulan itu dinamakan Ramadhan dari perkataan ar-Ramdha’ yang member maksud tersangat panas. Dikatakan juga dinamakan dengan Ramadhan kerana sesungguhnya bulan Ramadhan membakar dosa.

Kelebihan berpuasa (Ayat dan hadis yang membicarakan mengenainya banyak):

Firman Allah Taala:

“ (Kepada mereka katakanlah): makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah engkau lakukan pada hari-hari yang telah lalu” [al-Haaqqah:24]

“ …………lelaki dan perempuan-perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatan mereka, lelaki dan perempuan-perempuan yang sentiasa mengingati Allah Taala; Allah Taala menjanjikan bagi mereka ganjaran yang sangat besar”[al-Ahzab:35]

Sabda Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam:

Hadis Qudsi;

“ Setiap kebaikan seperti sepuluh seumpamanya hingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Puasa itu bagiku dan aku yang aku memberi ganjaran dengannya” [Riwayat Imam Malik dalam kitab Muwattho’ dan Imam Bukhari dalam bab puasa]

“ Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, Allah Taala akan menjauhkan antaranya dengan neraka jahannam sejauh perjalanan seratus hari” [Riwayat Imam Nasa’ie]

“ Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka, kegembiraan dengan puasanya ketika bertemu Allah” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

“ Diam orang yang berpuasa itu tasbih, tidurnya ibadah, doanya mustajab, amalannya digandakan (ganjaran)” [ Riwayat ad-Dailami dalam Musnad Firdaus]

“ Puasa itu benteng dan kubu yang menjaga dari neraka” [ Riwayat Imam Ahmad]

Hukum-hukum berpuasa, terbahagi kepada empat ;

Pertama: [wajib] ;puasa Ramadhan, puasa qadha’, puasa kaffarah seperti puasa kaffarah zihar atau pembunuhan atau jima’ di siang Ramadhan, puasa pada hari haji dan umurah sebagi ganti kepada sembelihan untuk bayaran fidyah serta puasa ketika istisqa’ apabila diperintahkan oleh hakim.

Kedua: [Sunat] - dan ia adalah asal bagi puasa - ; terbahagi kepada tiga:

- Berulang mengikut tahun: seperti puasa hari Arafah (disunatkan kepada selain orang yang menunaikan haji), puasa hari tasua’aa dan asyura’, puasa Muharram, enam syawal, puasa bulan-bulan haram (Rejab,Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram), sepuluh awal dari bulan Zulhijjah dan selainnya.

- Berulang mengikut bulan: Hari Putih iaitu hari 13,14,15 setiap bulan dan Hari Hitam iaitu 28,29,30 setiap bulan hijrah.

- Berulang mengikut minggu: Puasa Isnin dan Khamis

Seafdhal-afdhal puasa sunat: Berpuasa sehari, berbuka sehari iaitu puasa Nabi Daud ‘Alaihissalam.

Ketiga: [Makruh]: Berpuasa hari Jumaat sahaja atau Sabtu sahaja atau Ahad sahaja dan berpuasa setahun bagi sesiapa yang bimbang mudarat atau terluput hak melakukan amalan sunat.

Keempat [Haram] : terbahagi kepada dua:

- Haram tetapi sah: Puasa seorang isteri tanpa kebenaran suami dan puasa seorang hamba tanpa kebenaran tuannya.

- Haram dan tidak sah; terdapat dalam lima gambaran: Puasa hari raya puasa dan raya korban, puasa hari tasyriq iaitu 11,12,13 Zulhijjah, puasa separuh terakhir dari bulan Sya’aban bermula dari 16 Sya’aban hingga akhir, puasa hari Syak iaitu 30 Sya’aban.

Masalah: Bilakah boleh untuk berpuasa pada hari syak atau separuh terakhir dari bulan Sya’aban?

- Dibolehkan berpuasa pada hari tersebut dalam tiga keadaan;

1) Apabila puasa itu merupakan puasa wajib seperti puasa qadha, puasa nazar atau puasa kaffarah.
2) Sekiranya puasa itu kebiasaan bagi dirinya seperti puasa Isnin dan Khamis
3) Apabila bersambung dengan hari sebelumnya seperti dia berpuasa pada 15 Sya’aban. Maka, boleh untuknya berpuasa pada 16 Sya’aban, 17 Sya’aban hingga ke akhirnya. Apabila dia berbuka sehari, maka haram untuknya berpuasa selepasnya.

bersambung.....

Rujukan kitab: at-Taqriratus Sadidah karangan Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaaf; Murid kepada al-Habib an-Nasib al-'Allamah al-Muhaqqiq Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah

0 comments:

Post a Comment