Followers

Antara Tanda Kesempurnaan Islam Seorang Muslim [Siri 4]


Hadis yang sedang kita bicarakan sekarang dan sebelum ini menunjukkan: sesungguhnya meninggalkan apa yang tidak berfaedah adalah tanda kesempurnaan Islam seorang Muslim. Apabila dia meninggalkan apa yang tidak berfaedah dalam kehidupannya dan bersungguh-sungguh melakukan perbuatan yang akan mendatangkan ganjaran di sisi Allah, maka telah sempurnalah kebaikan agama Islam dalam dirinya.

Telah diriwayatkan banyak dari Hadis Baginda Sollallahu’alaihiwasallam yang membicarakan kelebihan seorang Muslim yang baik dan sempurna keislamannya. Muslim yang mencapai tahap kesempurnaan ini akan digandakan pahala amalan kebaikan yang dilakukannya dan dihapuskan dosa keburukannya. Apa yang dapat kita fahami dari mutiara Hadis Baginda Sollallahu’alaihiwasallam menunjukkan bahawa gandaan bertambah mengikut tahap kesempurnaan Islam seseorang.

Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab Sahihnya dari Abu Hurairah Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam pernah bersabda; “ Apabila telah baik Islam seseorang dari kamu, maka setiap satu amalan kebaikannya akan ditulis dengan sepuluh seumpamanya sehinggakan kepada tujuh ratus kali ganda. Setiap satu keburukan akan ditulis seumpamanya sehinggalah dia bertemu Allah Taala”


Gandaan kepada kebaikan yang dilakukan adalah sesuatu yang mesti diperolehi oleh seorang Muslim apabila dia melakukan amalan. Namun begitu, gandaan itu bergantung kepada kebaikan dan kesempurnaan Islamnya, keikhlasan niatnya dan keperluan kepada amalan itu serta kelebihannya seperti menderma harta untuk jihad, mengeluarkan harta untuk menunaikan haji serta memberi sedekah kepada kaum kerabat, anak yatim dan orang miskin. Begitu juga, dinilai amalan dari segi waktu-waktu yang memerlukan kepada perbelanjaan harta pada jalan Allah.

Oleh kerana itulah, seseorang Muslim perlu sentiasa berusaha untuk mencapai kesempurnaan Islam di sisi Allah. Mereka perlu sentiasa mengikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Allah Taala tidak akan sekali-kali mengabaikan hambaNya yang benar niatnya ketika melakukan amalan. Sesiapa sahaja yang benar dalam amalannya pasti akan mendapat bantuan dan pertolongan Allah Taala untuk mencapai keredhaanNya.

Firman Allah Taala;

“ Sesungguhnya Allah Taala tidak akan berlaku zalim walaupun sebesar zarah. Jika ada kebaikan yang dilakukan sebesar zarah sekalipun nescaya akan digandakan ganjarannya dan akan diberi ganjaran yang sangat besar di sisi Allah Taala”


Bersambung dalam siri akan datang….

0 comments:

Post a Comment