Antara Tanda Kesempurnaan Islam Seorang Muslim [Siri 3]
Paling banyak yang dimaksudkan dengan meninggalkan apa yang tidak berfaedah adalah menjaga lidah dari percakapan yang sia-sia sebagaimana Firman Allah yang tercatat dalam surah Qaf.Firman Allah Taala;
“ Dan sesungguhnya kami telah mencipta manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya. Iaitu ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang seorang lagi di sebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada malaikat di sisinya yang hadir dan memerhati apa yang diucapkan”
Dalam kitab Musnad diriwayatkan Hadis dari Saidina Husain bin Ali Radiallahu’anhuma bahawasanya Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam bersabda: “ Sesungguhnya daripada tanda kesempurnaan Islam seseorang adalah kurang percakapan dalam perkara yang tidak berfaedah”
Berkata Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah: “ Sesiapa yang mengira percakapannya termasuk dari amalannya, maka kurang percakapannya kecuali dalam perkara yang bermanfaat”. Ramai dalam kalangan manusia merasakan bahawa percakapannya tidak termasuk dalam amalan yang akan dihisab oleh Allah sehinggakan dia berlebihan bercakap dalam perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat.Diriwayatkan dari hadis Abu Hurairah Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam bersabda; “ Manusia yang paling banyak dosa adalah manusia yang paling banyak bercakap perkara yang tidak bermanfaat untuknya”
Diriwayatkan lagi dari Asad bin Musa katanya: Abu Ma’syar menceritakan kisah yang diriwayatkannya dari Muhammad bin Ka’ab Radiallahu’anhu bahawa satu hari Rasulullah Sollallahu’alahiwasallam mengkhabarkan kepada para sahabat: “ Orang yang pertama masuk kepada kamu semua adalah dalam kalangan ahli syurga”. Kemudian selepas itu masuklah Abdullah bin Salam Radiaallahu’anhu. Lalu berdiri seorang lelaki memberitahu apa yang telah diberitahu oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam. Kemudiannya mereka semua bertanya: “ Beritahu kepada kami, apakah amalan yang paling baik yang diamalkan olehmu”. Jawab Abdullah bin Salam Radiallahu’anhu: “ Sesungguhnya amalanku sangat lemah, dan amalan yang paling baik yang aku amalkan ialah berlapang dada dan meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat untukku”

Abu Ubaidah meriwayatkan dari al-Hasan katanya: “ Antara tanda Allah Taala berpaling dari seorang hamba itu ialah Dia menjadikannya sibuk dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat untuknya”. Perkara ini lebih jelas terbukti kepada Saidina Luqman al-Hakim. Antara rahsia yang menjadikannya sampai ke darjat yang tinggi adalah disebabkan dia sentiasa benar dalam percakapannya dan mendiamkan diri dari bercakap perkara yang tidak mendatangkan manfaat untuknya.
Bersambung dalam siri akan datang….




0 comments:
Post a Comment