Followers

" Pakaian Taqwa Adalah Yang Terbaik ..."


Segala puji bagi Allah yang menjadikan ikatan antara amalan kebaikan. Dia menjadikan kebaikan yang kecil dan sedikit itu membawa kepada kebaikan yang besar dan lebih banyak. Begitulah keburukan itu saling mempunyai kaitan; sesiapa yang memandang sesuatu keburukan itu kecil akan membawanya kepada keburukan yang lebih besar. Sesiapa yang bermudah-mudah dengan dosa kecil akan menyebabkan dia tergelincir melakukan dosa besar.

" Jangan kamu memandang rendah dari sesuatu amalan kebaikan itu sedikitpun walaupun dengan kamu bertemu saudaramu dengan wajah yang manis"

Oleh sebab itu, Allah Taala sentiasa mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan dosa kecil sebagai penyelamat dari melakukan dosa yang lebih besar. Apabila seseorang berusaha untuk menjaga amalan-amalan sunat, usaha tersebut akan menampung serta menambahkan rasa khusyuk dan khudu' dalam melakukan amalan fardhu. Sesungguhnya menjaga adab itu adalah rahsia untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala, menjadi penyebab kepada pengurniaan Allah Yang Maha Pemberi Kurnia tanpa hisab serta jalan untuk memperolehi keredhaanNya yang melampaui segala khayalan akal manusia.

" ....... dan keredhaan Allah Taala itu lebih besar, yang demikian itu adalah satu kejayaan yang sangat besar"

Semoga Allah Taala memuliakan kita dengan keredhaan ini, amin.

Sesungguhnya Allah Taala menjadikan matlamat dan tujuan bagi setiap ibadah yang akan menghasilkan kebaikan untuk hambaNya. Allah Taala tidak berhajat kepada makhlukNya sedikitpun. Indahnya sentuhan peringatan dari Allah Taala menerusi KalamNya yang mulia;

" Jika kamu berbuat kebaikan, kebaikan itu untuk dirimu sendiri. Sekiranya kamu melakukan keburukan, keburukan itu akan menimpamu..."

Jumaat merupakan kebiasaan hari diingatkan kepada kaum Muslimin kepada taqwa. Namun, bukan bererti taqwa itu hanya terhenti untuk hari-hari tertentu. Segala amalan kebaikan yang diperintahkan oleh Allah Taala untuk dilakukan adalah bertujuan untuk melahirkan hamba yang sedia tunduk dan patuh kepadaNya. Mengapa begitu? Kerana kita hanyalah sekadar hamba kepadaNya.

Pakaikanlah pada diri dengan pakaian yang tidak akan ditanggalkan oleh musuh-musuh terutama iblis yang sentiasa berusaha merosakkan kita. Apakah pakaian itu? Dengarlah Firman Allah Taala dalam Al-Quran Al-Karim;

" Wahai anak-anak Adam, telah diturunkan ke atasmu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian yang indah sebagai perhiasan. Dan pakaian taqwa adalah yang terbaik. Yang demikian itu adalah sebahagiaan dari tanda-tanda kekuasaan Allah mudah-mudahan mereka mengambil peringatan. Wahai anak-anak Adam, janganlah sekali-kali kamu terfitnah dengan tipu daya syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga...."

Disebut dalam 'Athar bahawa seseorang hamba itu tidak akan mampu mencapai darjat taqwa sehinggalah dia meninggalkan perkara yang tidak ada keburukan padanya bertujuan untuk menjaga dirinya dari perkara yang akan membawa keburukan padanya. Sesungguhnya sebahagian sahabat berkata: " Kami meninggalkan 19 perkara yang halal kerana bimbang jatuh ke dalam perkara yang haram".

Perhatikan, adakah seseorang yang sentiasa bermudah-mudah dalam beramal akan mampu mewarisi sifat taqwa? Sesetengah manusia mencari fatwa-fatwa yang bersesuaian dengan hawa nafsu mereka. Sebagai contoh: apabila mereka ingin memperolehi keuntungan yang besar dalam perniagaan mereka, dia sudah tidak mempedulikan hukum agama. Apabila seorang yang 'alim yang bertaqwa lagi wara' menfatwakan bahawa perkara yang dilakukannya adalah bertentangan dengan syariat atau tidak digalakkan oleh Islam, dia akan berusaha mencari orang lain yang akan mengatakan perkara yang dilakukannya itu bukanlah bermasalah.

Seolah-olah dia menginginkan manhaj Allah Taala itu mengikutinya, bukannya dia yang mesti mengikut manhaj yang telah ditetapkan oleh Allah Taala.

Di manakah berbakinya taqwa di sisi orang yang sentiasa bermudah-mudah dengan amalan kebaikan serta memperkecilkannya? Golongan seumpama ini sentiasa berusaha mencari fatwa yang bersesuaian dengan nafsunya. Sesungguhnya taqwa hanya mampu diwarisi oleh manusia yang zuhud dan wara' yang meninggalkan perkara yang halal bagi mengelakkan diri terjebak dalam perkara haram. Begitulah amalan para sahabat dan ulama' yang soleh.

Bertegur sapa dan bertanya khabar sesama mu'min adalah digalakkan untuk mengeratkan lagi ukhuwwah Islamiah. Tidak menjadi masalah meluangkan masa untuk duduk bersama-sama rakan-rakan selagimana tidak diisi dengan mengeji manusia dan mengumpat mereka. Kawallah diri dari membincangkan topik-topik yang pada asalnya dibolehkan sekiranya perkara yang dibincangkan itu akan menjurus kepada mengumpat dan mengata kawan-kawan yang lain.

Hari ini sukar untuk memahami amalan para sahabat. Bagaimana mereka meninggalkan perkara yang halal kerana bimbang jatuh dalam perkara haram? Memang sukar untuk menghayatinya apabila kehidupan hari ini terlalu banyak bergelumang dengan perkara yang haram.

Kebimbangan para sahabat terdahulu untuk melakukan sesuatu yang halal kerana takut terjatuh dalam perkara haram lebih tinggi berbanding kebimbangan kita dalam melakukan perkara haram. Manusia hari ini tidak pernah merasa takut untuk melakukan amalan yang akan membawa keburukan kepadanya di Hari Akhirat.

" Mereka mengetahui yang zahir dari kehidupan dunia dalam keadaan mereka lalai dengan Akhirat"

Lihatlah manusia, apabila diumumkan bahayanya penyakit H1N1 yang menyerang dunia, masing-masing sibuk menyiapkan diri mereka dengan segala persiapan. Walaupun berita mengenainya berlaku di negara yang jaraknya beribu batu dari mereka. Bimbang kepada perkara yang boleh jadi benar, boleh jadi tidak. Mengapa dalam urusan akhirat mereka tidak bersikap sebegitu?

Sesungguhnya kita berada di zaman fitnah yang memerlukan pergantungan diri sepenuhnya kepada Allah Taala. Berusahalah untuk meninggalkan segala perkara yang dimurkaiNya bagi mengelakkan bala Allah Taala menimpa. Semoga kita semua dikurniakan taqwa yang sebenar-benarnya.

" Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan jangalah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menyerah diri kepadaNya"

0 comments:

Post a Comment