Followers

Ciri Pemuda Bertaqwa: Lawan Kehendak Nafsu, Tinggalkan Maksiat, Dirikan Ibadah dan Taat

Sabda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam:
“ Tujuh golongan; Allah Taala menaungi mereka di bawah naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya…. Antara mereka: pemuda yang hidup dalam ibadah kepada Allah….."

Dalam riwayat Salman: “ menghabiskan masa muda dan masa cergasnya dalam keadaan beribadah kepada Allah”

Dikhususkan dalam sabda Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam dengan lafaz ‘pemuda’ kerana keadaan manusia ketika muda biasanya mempunyai gelora nafsu untuk melakukan maksiat yang lebih kuat dari keinginan untuk mengikut petunjuk dan hidayah. Oleh itu, sekiranya para pemuda berjaya melazimi ibadah dan mampu melawan nafsu serta meninggalkan maksiat, sesungguhnya keadaan itu lebih mendekatkan diri mereka untuk memperolehi ketaqwaan yang hakiki.

Firman Allah Taala:

“ Adapun sesiapa yang melampaui batas dan memilih kehidupan dunia, maka baginya neraka sebagai tempat tinggalnya. Dan adapun sesiapa yang takut dengan maqam Tuhannya dan menahan dirinya dari menurut kehendak nafsunya, maka baginya syurga sebagai tempat tinggalnya..”
[an-Nazi’at: 36-41]

Tabiat dalam jiwa manusia sentiasa mengajak untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah Taala. Lalu, al-Quran hadir memberi isyarat kepada manusia supaya menjauhi maksiat kepadaNya. Allah Taala mengehendaki supaya kita semua melawan kehendak hawa nafsu yang mendorong kepada maksiat dan Dia memalingkan kita ke arah ketaatan kepadaNya. Apa yang diinginkan oleh Allah Taala adalah supaya hambaNya mempunyai keazaman yang kuat untuk menjauhi dosa, sentiasa memperbaharui niat dan membangkitkan dalam diri mereka rasa pergantungan yang sebenar kepadaNya, RasulNya dan syariatNya yang mulia.

Gambar Hiasan

Hayati bersama kalam menarik dari Saidina Umar Radiallahu’anhu di bawah;

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dalam kitabnya, ‘Zuhud’ bahawa Amirul Mu’minin al-Farooq Saidina Umar bin al-Khattab Radiallahu’anhu pernah ditanya dengan satu soalan yang sangat menarik:

“ Wahai Amirul Mu’minin, antara orang yang mempunyai keinginan untuk melakukan maksiat dan mereka meninggalkannya; manakah yang lebih baik dengan orang yang tidak mempunyai keinginan untuk melakukan maksiat dan mereka tidak melakukannya? Siapakah yang lebih afdhal dan lebih bergantung kepada Allah Taala? ”

Lalu Saidina Umar Radiallahu'anhu menjawab:

“ Sesungguhnya orang yang mempunyai keinginan untuk melakukan maksiat dan dia meninggalkannya, itulah orang yang diuji hati mereka untuk memperolehi taqwa. Baginya keampunan dan ganjaran pahala yang sangat besar di sisi Allah Taala.”


Hidup ini hakikatnya adalah ujian sebelum bertemu Allah Taala di hari kiamat. Kejayaan meninggalkan maksiat adalah kejayaan di dunia dan di akhirat. Apabila hati manusia disinari dengan cahaya hidayah, seluruh anggotanya pasti akan diarahkan untuk melakukan ibadah dan taat.

Wallahua’alam……

Menyahut Seruan Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam: Saling Menasihati Sesama Muslim

Diriwayatkan dari Tamim ad-Dariyy Radiallahu’anhu, sesungguhnya Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam telah bersabda: “ Agama itu nasihat”. Kami berkata: “ Untuk siapa wahai Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam”. Sabda Baginda Sollallahu’alaihiwasallam: “ Untuk Allah Taala, KitabNya, RasulNya – Sollallahu’alaihiwasallam - , pemimpin kaum muslimin dan seluruh Muslimin”.
[Hadis Riwayat Muslim]

Makna nasihat untuk Allah:
Benar I’tiqad pada keesaanNya, ikhlas dalam pengabdiaan diri kepadaNya, dan cinta ZatNya Yang Maha Agung.

Makna nasihat untuk Kitab Allah Taala:
Beriman dengannya, beramal dengan kandungannya, memperbaiki dan memperbanyakkan bacaannya.

Makna nasihat untuk RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam:
Membenarkan kenabiannya – Sollallahu’alaihiwaallam -, bersungguh-sungguh mentaatinya dengan melakukan suruhannya – Sollallahu’alaihiwaallam -dan meninggalkan larangannya – Sollallahu’alaihiwaallam -, mengikhlaskan rasa cinta kepadanya – Sollallahu’alaihiwaallam -sehingga cinta itu melebihi cinta kepada diri, ibu bapa, anak-anak dan manusia seluruhnya.

Makna Nasihat untuk pemimpin kaum muslimin – mereka yang memimpin dengan petunjuk Allah- :
Mentaati mereka pada perkara kebaikan dan jangan mengingkari mereka (selagi mana mereka mentaati Allah Taala dan RasulNya).

Nasihat untuk para muslimin keseluruhannya:
Menunjukkan kepada mereka kepada perkara yang membawa kebaikan pada agama dan dunia mereka, menutup aib mereka, membantu mereka pada perkara kebaikan, menghormati orang tua dalam kalangan mereka, menyayangi orang yang lebih muda, menjauhi rasa benci dan dengki, suka melihat mereka memperolehi kebaikan sebagaimana sukanya kebaikan itu diperolehi oleh kita, benci keburukan menimpa mereka sebagaimana bencinya keburukan itu menimpa kita serta menasihati mereka dengan cara yang terbaik.

Diriwayatkan dari Jarir bin Abdillah al-Bajaliyy Radiaallahu’anhu, katanya:
“ Aku berbai’ah kepada Rasulullah Sollallhu’alaihiwasallam untuk mendirikan solat, menunaikan zakat dan menasihati setiap Muslim”

al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah

Aku Berkata (al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah): “ Daripada contoh menasihati sesama Muslim ialah tidak menyembunyikan kepada mereka perkara yang kamu mengetahui padanya ada kebaikan dan kejayaan untuk mereka samada kebaikan itu akan diperolehi ketika itu atau akan datang.

Diriwayatkan dari Jarir bin Abdillah (sahabat yang disebut dalam hadis di atas) bahawa sesungguhnya dia pernah meminta hambanya supaya membeli kuda untuknya. Maka, hambanya pergi membeli kuda dengan harga tiga ratus dirham. Selepas itu, Jarir datang membawa kuda tersebut bertemu tuannya semula untuk membayar dengan harga yang lebih tinggi. Berkata Jarir kepada tuan punya kuda: “ Kuda kamu lebih baik dari tiga ratus dirham, bagaimana kalau aku membelinya dengan harga empat ratus dirham?”. Jawabnya: “ Yang demikian itu aku serahkan padamu”. Jarir berkata lagi: “ Kudamu lebih baik dari itu lagi, bagaimana kalau aku membelinya dengan harga lima ratus dirham?”. Jawabnya: “ Yang demikian itu aku serahkan padamu”. Kemudiannya, berterusan Jarir meningkatkan harganya sehingga mencapai lapan ratus dirham dan dia membelinya dengan harga tersebut. Disebutkan cerita tersebut kepadanya lalu dia pun berkata: “ Sesungguhnya aku telah berbai’ah dengan Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam untuk menasihati kepada setiap Muslim”.

Wallahuaa’lam. Disebut oleh al-Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim …………..”

Dipetik dari: Kitab al-manhajus Sawiyy karangan al-‘Allamah al-Muhaqqiq ad-Dai’e ilallah al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah

Kisah Sayyidina Hiram bin Hayyan dengan Sayyidina Wais al-Qarny

Di bawah ini, saya petik sedikit kandungan ceramah yang disampaikan oleh al-Habib Omar dalam salah satu siri ceramahnya di Mesir suatu masa dahulu. Semoga kisah yang disampaikan di bawah mengukuhkan lagi ukhuwwah antara kita semua. Bertemu, berkenalan dan berpisah kerana Allah Taala.

al-Habib Umar bin Salim bin Hafiz Hafizohullah

“ Kamu semua mengetahui, sesungguhnya perhimpunan antara kita sekarang tidak akan berlaku melainkan setelah roh kita semua telah berhimpun sebelum roh bergabung dengan jasad. Di alam roh, sesiapa yang telah berkenalan di sana, akan saling mengenali di sini. Sesiapa yang tidak berkenalan di alam tersebut, mereka tidak akan saling mengenali di dunia.

Sabda Baginda Sollallahu’alaihiwasallam;

“ Roh-roh adalah tentera yang terlatih. Mana-mana yang telah berkenalan antaranya, nescaya akan berbaik-baik…….”

Oleh sebab itu, sampai kepada kita kisah Sayyidina Hiram bin Hayyan ketika dia mencari Sayyidina Wais al-Qarny dan dia mencintainya kerana Allah. Wais al-Qarni adalah seorang lelaki dalam kalangan Tabi’en. Seorang lelaki yang soleh, arif (tentang Allah). Menahan diri dari keluar ke Madinah untuk berkhidmat kepada emaknya Dia merupakan seorang lelaki yang benar-benar menyahut seruan Allah Taala.

Sayyidina Hiram bin Hayyan mendengar berita mengenainya dan timbul rasa sayang dalam dirinya kepada Sayyidina Wais semata-mata kerana Allah Taala. Lalu, dia mencarinya, namun tidak mampu untuk menemuinya. Dia mencari, mencari dan terus mencari. Saidina Hiram mengambil gambaran yang sempurna mengenai sifat dan keadaannya. Sehinggalah satu hari, ketika dia keluar melalui Sungai Furat di Iraq, dia melihat seorang lelaki sedang berwudhu’. Tahulah dia itulah lelaki yang disifatkan kepadanya.

Dia pun memberi salam; “ Assalamu’laika wahai Wais al-Qarny”. Sayyidina Wais pun berpaling dan itulah kali pertama mereka bertemu. Lalu, Sayyidina Wais menjawab salam tersebut: “ Wa’alaikumusaalam wahai saudaraku Hiram bin Hayyan”. Hiram berkata (dalam kehairanan): “ Ini adalah pertemuan pertama antaraku dengan kamu, dari mana kamu mengenali namaku dan nama bapaku?”. Sayyidina Wais menjawab: “ Sesungguhnya roh orang beriman saling mengenali, sesungguhnya rohku telah mengenali rohmu dan pernah berbicara dengan rohmu”.
Uwais turut mewasiatkannya dengan beberapa pesanan. Mereka berdua bersembang sehinggalah mereka berpisah dalam keadaan dia sibuk untuk melakukan amalan lain. Berkata Hiram: “Aku melihat dirinya teramat kurus dan kekusutan padanya. Lalu, aku pun menangis”.

Sayyidina Wais berkata: “ Kamu berjalan ke arah sana dan aku berjalan ke arah sana. Janganlah kamu mencariku lagi selepas ini. Aku tidak suka dikenali di atas dunia ini. Janji pertemuan antaraku denganmu -insyaallah - di kolam rasulullah Sollahu’alaihiwasallam”

Sebelum berpisah Sayyidina Hiram mendengar Sayyidina Wais berdoa: “ Wahai Tuhan, sesungguhnya orang ini mencintaiku keranamMu, dia datang menziarahiku keranaMu maka kenalkan kepadaku wajahnya di dalam syurga”. (Sebelum berpisah) Sayyidina Wais mengingatkan kepada Sayyidina Hiram; “ Kamu mengambil jalan ini dan aku mengambil jalan ini”. - Semoga Allah Taala meredhainya dan dia meredhaiNya - ……..”

Selawat Ke atas Baginda Sollahu’alaihiwasallam

Mencapai kecintaan dari Allah Taala dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam adalah suatu kejayaan dan anugerah yang sangat besar dari Allah Taala. Inilah matlamat perhambaan kita kepada Allah Taala selama ini. Inilah perkara yang kita idam-idamkan. Mengucapkan dengan mulut “aku sayang Allah, aku cinta Rasul Sollallahu’alaihiwasallam” memang mudah, tetapi adakah rasa cinta dan sayang ini mendapat perhatian dari Allah Taala dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam? Allah Taala dan Rasulullah Sollallahu’laihiwasallam tidak berhajat kepada cinta kita, tetapi kitalah yang sangat berharap untuk memperoleh kecintaan daripada Allah Taala dan Baginda Nabi Sollallahu’alaihiwasallam.

Oleh sebab itu, jangan terlupa untuk memastikan mulut kita sentiasa basah dengan selawat ke atas Baginda Sollahu’alaihiwasallam. Sepuluh kali selawat dari Allah Taala sebagai balasan sekali selawat dari kita ke atas Baginda Sollahu’alaihiwasallam adalah satu nikmat yang tersangat besar dari Allah Taala. Tinggal kita sahaja untuk mengamalkannya. Hanya mereka yang mampu merasai hakikat rahmat ini sahaja yang memahami dan mengerti.

Imam Ahmad, al-Hakim, Imam Baihaqi dan selain mereka pernah meriwayatkan hadis dari Abdul Rahman bin ‘Auf Radiallahu’anha, katanya: “ Suatu hari aku telah mengikut Rasululah Sollallahu’alaihiwasallam dan aku melihatnya masuk ke sebuah kebun yang berada di dalamnya pohon kurma. Aku mengikutnya lalu aku mendapati Baginda Sollallahu’alaihiwasalam sedang sujud – sujud di atas tanah -. Aku menunggu Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Nabi memanjangkan sujudnya dan memanjangkannya lagi sehingga aku menyangka roh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam telah dicabut oleh Allah Taala. Maka, aku pergi kepada Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam untuk melihat keadaan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Lalu Baginda Sollallahu’alaihiwasallam mengangkat kepalanya seraya bersabda; “ Mengapa kamu wahai Abdul Rahman”. Aku berkata: “Engkau meletakkan mukamu di sini sangat lama, aku takut sekiranya rohmu telah dicabut, lalu aku berkata pada diriku; aku tidak akan dapat melihat Rasululah Sollallahu’alaihiwasallam selama-lamanya selepas ini”. Baginda pun bersabda “ Sesungguhnya telah datang utusan dari Tuhanku lalu dia berkata, hendakkah aku berikan kepadamu satu khabar gembira? Sesungguhnya Allah Taala berfirman kepadamu; sesiapa yang berselawat ke atasmu dengan sekali selawat, nescaya Alah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat”.

Rasulullah membuktikan kecintaan kepada umatnya sehinggakan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam sujud dan meletakkan mukanya yang mulia di atas tanah tanpa hijab. Baginda Sollallahu’alaihiwasallam memanjangkan sujudnya tanda syukur kepada Allah . Mengapa? Bukanlah kegembiraan Nabi Sollallahu’alaihiwasallam kerana selawat umatnya ke atasnya, akan tetapi kegembiraan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam kerana ganjaran yang dikurniakan ke atas umatnya iaitu gandaan balasan selawat Allah Taala ke atas kita sekiranya kita berselawat ke atas Baginda Sollallahu’alaihiwasallam.

Sekarang, giliran kita buktikan kasih sayang terhadap BAginda Sollahu'alaihiwasallam. Basahkan lidah anda dengan berselawat ke atasnya. Semoga rahmat Allah Taala menaungi setiap kehidupan kita, amin.

Cerita Yang Menggetarkan Jiwa Dari al-Habib Ali al-Jufri Hafizohullah

al-Habib Ali al-Jufri Hafizohullah bersama as-Syeikh al-Habib Dr. Muhammad 'Alawi al-Maliki al-Makki Rahimahullah. Turut kelihatan di belakang mereka Syeikhuna Dr Jamal Farooq Hafizohullah (guru kami di al-Azhar asy-Syarif)

Pernah diceritakan kisah seorang lelaki yang bertaqwa, menjaga solatnya, berpuasa dan menjaga ibadahnya kepada Allah Taala. Isterinya juga seorang yang bertaqwa. Suatu hari, apabila dia pulang ke rumah dia melihat air muka isterinya berubah dan menjadi kemerah-merahan. Dia sangat terkejut dengan keadaan tersebut.

Lalu, si suami bertanya kepada isterinya perkara yang telah berlaku, tetapi isterinya enggan menceritakannya. Apabila dia berterusan meminta isterinya menceritakan apa yang berlaku, isterinya bertanya: “ Adakah kamu mengenali pengisi air itu?” – Pengisi air yang dimaksudkan adalah orang yang mengisikan air ke dalam tempayan untuk diminum oleh tuan rumah -. Suaminya menjawab: “ Ya.”. Isterinya meneruskan kata-katanya: “ Berapa lamakah dia telah berkhidmat dengan kita?” Suaminya menjawab “ Lebih dari 30 tahun” . Isterinya bertanya lagi: “Adakah kamu mengetahui kejahatan atau keburukan pada dirinya?” Jawab suaminya: “ Tidak.” Isterinya pun berkata: “ Hari ini dia telah melakukan satu perbuatan yang buruk.” Lelaki itu bertanya: “ Apakah yang telah dia lakukan?” Isterinya pun menjawab: “ Ketika dia datang untuk mengisi air ke dalam tempayan di dalm rumah kita seperti kebiasaannya, aku pun membuka tempayan tersebut. Apabila aku menutup kembali tudung tempayan tersebut, tiba-tiba dia pun memegang tanganku dan menggengam pergelangan tanganku kuat sedikit”.

Apabila suami itu mendengar cerita tersebut, dia menangis sepuas hatinya. Kemudian, suaminya bangun solat taubat sebanyak dua rakaat meminta pengampunan dengan Tuhannya.

Si isteri bertanya; “ Mengapa dengan kamu? Mengapa kamu tidak pergi kepadanya dan menghukumnya?”. Si suami menjawab: “ Tidak, apa yang berlaku berpunca daripada diriku sendiri.”

Perhatikan maksud kata-kata ini;
“ Apa yang berlaku berpunca daripada diriku sendiri”.

Isteri bertanya: “ Bagaimana begitu.” Jawab lelaki tersebut: “ Telah datang kepadaku seorang wanita hari ini, dia meminta aku membaiki gelang tangannya yang diperbuat daripada emas. Ketika dia masukkan gelang tersebut ke tangannya untuk ditunjukkan kepadaku untuk menunjukkan saiznya, aku tidak menundukkan pandanganku. Aku melihat tangannya melebihi had yang sepatutnya. Nafsu menguasai diriku dan aku meletakkan tanganku pada gelangnya dan menggengam sedikit tangannya seperti lelaki tersebut menggengam tanganmu.”

Ketika mereka tidur, datanglah seorang dalam mimpi si suami lalu dia berkata: “ Gengaman dibalas gengaman. Sekiranya kamu melakukan lebih daripada itu kepada perempuan tersebut, lelaki itu juga akan melakukan lebih dari itu kepada isterimu”

Pengajaran dari cerita di atas:

1) Tundukkan pandangan dari melihat perkara yang diharamkan oleh Allah Taala.
2) Allah Taala akan membalas segala perkara buruk yang kita lakukan.
3) Sebagaimana kita tidak suka orang yang kita sayangi disakiti, kita juga perlu menjaga diri dari menyakiti orang lain.
4) Bersegeralah memohon keampunan dari Allah Taala apabila melakukan dosa dengan sebenar-benar taubat dan berazamlah untuk tidak mengulanginya lagi.
5) Mohonlah perlindungan dari Allah supaya tidak terjebak dalam perkara yang dimurkaiNya.
6) Berusahalah menjadi hambaNya yang mentaati suruhanNya dan meninggalkan maksiat kepadaNya.
7) Basahkan lidah dengan istighfar. Dalam masa yang sama, hiasi diri dengan amalan ketaatan dan meninggalkan maksiat sebagai tanda benarnya istighfar yang diucapkan.
8) Banyakkan muhasabah setiap amalan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Firman Allah Taala:
“ Dan bersegeralah memohon keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Dijanjikan kepada orang yang bertaqwa. (Iaitu) orang yang membelanjakan (hartanya) di waktu senang dan susah, orang yang menahan perasaan marahnya dan mengampuni kesalahan manusia. Dan Allah Taala itu suka kepada orang yang berbuat kebaikan. Dan orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji atau menzalimi dirinya, lalu mereka mengingati Allah, mereka terus memohon keampunan dari Allah atas dosa yang mereka lakukan dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahuinya. Mereka itu balasannya adalah keampunan dari Tuhannya serta syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal” ( ali-‘Imran: 133-136)

Setakat Manakah Penghargaan Kita Terhadap Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam?

Sedarkah kita, kita dimuliakan oleh Allah Taala disebabkan kita adalah umat Baginda Sollallahu’alaihiwasallam? Kita mampu untuk merasai pelbagai kelebihan dan rahmat Allah adalah kerana hasil naungan rahmat yang dibawa melalui risalah Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Kesempurnaan agama yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan serta pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam bersama sahabat Ridhwanullahi ‘alaihim ajma’iin.

Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam sanggup mengorbankan segala yang ada pada diri untuk melihat umatnya berbahagia di dunia dan di akhirat. Mengeluarkan manusia dari kegelapan dan kesesatan menuju cahaya kebenaran. Allah Taala menggambarkan kepada kita mengenai keprihatinan Rasulullah Sollalahu’alaihiwasallam terhadap umatnya di penghujung surah at-Taubah. Allah Taala berfirman;

” Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”

(At-Taubah: 128)



Sirah merakamkan bagaimana Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam berjaya mengubah masyarakat jahiliyyah sehinggakan cahaya Islam menyinari seluruh pelusuk dunia. Kesempurnaan akhlak Baginda Sollahu’alaihiwasallam berjaya menarik perhatian masyarakat untuk mengenali seterusnya berpegang teguh dengan islam yang dibawa oleh Baginda Sollahu’alaihiwasallam. Kesempurnaan Baginda Sollahu’alaihiwasallam diakui oleh semua termasuk musuh-musuh Islam sendiri.

قال أحد من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم :

" لَأَنْ أُذْبَحَ أَوْ أُقْتَلَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يُشَاكَى مُحَمَّدٌ صلى الله عليه وسلم بِشَوْكَةٍ "

Maksudnya: Berkata salah seorang dari sahabat: “Sekiranya aku disembelih atau dibunuh lebih baik dari Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam disakiti dengan sebatang duri”

قَالَ أَحَدُ المُشْرِكِيْنَ لِقُرَيْش:

" لَقَدْ دَخَلْتُ عَلَى كِسْرَى وَقَيْصَر وَرَأَيْتُ المُلُوكَ والأَكَابِيْرَ فَمَا رَأَيْتُ أَحَدًا يُعَظِّمُهُ أَصْحَابُهُ كَمَا يُعَظِّمُ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ مُحَمَّدًا "


Maksudnya: Berkata salah seorang dari musyrikin kepada kaum Quraisy: “Aku telah masuk bertemu Raja Parsi dan Raja Rom, dan aku melihat raja-raja dan pembesar-pembesar. Aku tidak pernah melihat seorang pun pengikut yang menghormati mereka sepertimana pengikut Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam mengagungkan Muhammad - Sollallahu’aalaihi wa aalihi wasallam -”

Begitulah kelebihan dan kemuliaan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam. Persoalannya, setakat mana kita bersedia untuk mengorbankan diri untuk Baginda Sollahu’alaihiwasallam?

Firman Allah Taala;

“ Katakanlah (wahai Muhammad): sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah aku nescaya Allah Taala akan mencintaimu”

Para ulama’ sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapatkan cinta Allah Taala tidak kira di waktu senang mahupun susah. Mereka sentiasa berusaha untuk menjadi pengikut setia kepada Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam.

Diriwayatkan Imam Ahmad bin Hambal Rahimahullah apabila menghadapi zaman fitnah dan ujian berat ke atasnya. Beberapa hari berlalu dalam keadaan dia bersembunyi di sisi sebahagiaan orang yang mencintainya. Apabila berlalu tiga hari, Imam Ahmad Rahimahullah bertemu muridnya yang menyembunyikannya dalam rumah tersebut, lalu dia berkata: “ Carilah kepadaku tempat lain untuk aku pergi kepadanya”. Muridnya bertanya: “ Mengapa wahai Imam? ”. Jawabnya: “Carikan kepadaku tempat yang lain”. Murid itu berkata lagi: “ Adakah kamu merasa lebih selamat di tempat lain?”. Imam Ahmad Rahimahullah menjawab: “ Carikan kepadaku tempat lain, aku akan beritahukan kepadamu sebabnya selepas ini”. Lelaki itu berusaha sedaya upaya mencari tempat persembunyian lain untuk Imam Ahmad Rahimahullah sehinggalah dia menjumpainya. Apabila selesai perpindahan itu, lelaki itu berkata: “ Adakah kamu tidak mahu memberitahu kepadaku sebab perpindahan kamu wahai Imam?”. Imam Ahmad Rahimahullah menjawab: : “ Rasullullah Sollahu’alaihiwasallam bersembunyi di dalam gua selama tiga hari sahaja, aku suka untuk menjadikan masa persembunyiaanku sama dengan Baginda Sollahu’alaihiwasallam. Aku mahu mengikuti apa yang dilakukan oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam di waktu susah sebagaimana aku dimuliakan Allah untuk menjadi pengikutnya di waktu aku senang”.

Mulianya para ulama’ terdahulu. Bersungguh-sungguh untuk mencuri perhatian orang yang paling dikasihinya – Sollahu’alaihiwasallam -. Membuktikan bahawa mereka benar-benar mencintai Baginda Sollahu’alaihiwasallam.

Adakah kita termasuk dalam golongan yang sentiasa berusaha untuk melaksanakan syariat Islam yang ditinggalkan oleh Baginda Sollahu’alaihiwasallam? Atau termasuk dalam golongan yang sentiasa cuba untuk mencari alasan untuk meninggalkan perintah Allah Taala dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam?

Resam orang bercinta sanggup melakukan apa sahaja untuk kekasihnya. Jangan sampai cinta kita kepada insan biasa menenggelamkan cinta kita kepada Allah Taala dan Rasulullah Sollalahu’alaihiwasallam. Anda lebih mengerti apa yang berada dalam hati anda. Sekadar muhasabah di hari Jumaat yang mulia. Tepuk dada, tanya amalan.

Bersedialah Untuk Berkhidmat Kepada Umat Baginda Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam



Terjemahan Khutbah:

" Aku (al-'Alim al-'Allamah al-Muhaddis as-Syeikh Usamah as-Sayyed al-Azhariyy Hafizohullah) meriwayatkan kepada kamu semua satu kisah untuk menutup ucapanku (khutbah Jumaat) dengannya;

Ahli sejarah telah meriwayatkan bahawa sesungguhnya satu ketika, seorang raja dari Raja Parsi berjalan bersama tentera pengiringnya dan melalui seorang tua yang telah lewat umurnya sedang menanam sepohon pokok yang hanya akan tumbuh selepas seratus tahun.

Lalu raja itu memberhentikan tentera pengiringnya seraya berkata kepada lelaki tua tersebut: " Sesungguhnya kelakuanmu sungguh pelik sekali. Aku melihat langkahan kakimu semakin menghampiri perkuburan, dekat dengan hari kematian. Kemudian, sekarang ini kamu menanam sepohon pokok yang tidak akan tumbuh melainkan setelah seratus tahun. Apakah tujuan perbuatanmu".

- Lelaki itu merupakan seorang yang bijak dan berpandangan jauh -. Lalu dia berpaling dan menjawab persoalan raja tersebut: " Semoga Allah memperbaiki keadaan raja! Sesungguhnya orang terdahulu telah menanam benih sehingga kita mampu merasa hasilnya hari ini, kini giliran kita untuk menanam benih supaya hasilnya boleh dinikmati oleh generasi selepas kita"

Raja pun berkata: " Bagus!"- Adalah menjadi kebiasaan kepada raja apabila dia mengucapkan kata-kata tersebut (ucapan bagus) kepada rakyatnya, dia akan mengurniakan seribu dirham kepada rakyatnya-. Maka, tentera pengiring raja memberikan seribu dirham kepada lelaki tua tersebut.

Lelaki tersebut kemudiannya berpaling kepada raja tersebut seraya berkata; " Semoga Allah memperbaiki keadaan raja! Aku melihat kamu merasa pelik dengan pohonku dan mempersoalkan kelewatan buah yang akan dinikmati selepasnya dan sesungguhnya di saat ini juga ianya telah membuahkan seribu dirham"

Lalu raja itu berkata kepadanya: " Bagus!". Kemudian, lelaki tersebut dikurniakan seribu dirham lagi.

Lelaki itu berkata lagi kepada raja tersebut; " Semoga Allah memuliakanmu! Kamu mempersoalkan kelewatan buah yang boleh dihasilkan oleh pohon yang aku tanam dan sesungguhnya dalam saat ini juga ianya telah berbuah dua kali"

Raja tersebut berkata kepadanya: " Bagus!". Selepas itu, lelaki tersebut diberi seribu dirham lagi untuk kali yang ketiga. Kemudian raja berkata kepada tentera pengiringnya: " Marilah kita berangkat meninggalkan lelaki ini! Sekiranya kita masih berada bersama lelaki ini nescaya segala yang berada dalam khazanah kita tidak akan cukup untuk dikurniakan kepadanya"

Apa yang ingin aku (Syeikh Usamah) sampaikan kepada kamu semua adalah; Dimanakah falsafah hidup (pada diri kita semua untuk diamalkan dalam hidup seharian) : 'orang terdahulu telah menanam benih sehingga kita mampu merasa hasilnya hari ini, kini giliran kita untuk menanam benih supaya hasilnya boleh dinikmati oleh generasi selepas kita'?"

Pengajaran: Bersedialah untuk berkorban dengan segala apa yang ada pada diri kita untuk kebaikan generasi akan datang terutamanya kepada umat Baginda Sollallahu'alaihiwasallam. Sebagaimana orang terdahulu bersusah-payah untuk melihat kejayaan kita hari ini, kini tiba giliran kita untuk mencurahkan bakti berkhidmat untuk generasi akan datang.