Followers

Puasa (Siri Akhir)

Habib Zain bin Ibrahim bin Zain bin Sumaith Hafizohullah; Guru kepada Syeikh Hasan al-Kaaf Hafizohullah pengarang kitab at-Taqriratus Sadidah fil Masailil Mufidah ketika menerima kunjungan beberapa orang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di al-Azhar as-Syarif di Jeddah bulan lepas

Antara Sunat-sunat Puasa

1) Menyegerakan berbuka: Sekiranya yakin terbenam matahari. Sekiranya syak, hendaklah dia berjaga-jaga dan melewatkan berbuka

2) Bersahur: Walaupun dengan seteguk air – Masuknya waktu bersahur selepas separuh malam.

3) Melewatkan bersahur: Sekira-kira tidak menyebabkan puasa terbatal kerana terlajak. Sunat imsak (menahan diri dari makan) sekitar 15 minit sebelum Subuh.

4) Berbuka dengan Ruthob dengan bilangan ganjil: sekiranya tiada dengan kurma busrin (kurma mekar yang belum masak), sekiranya tiada dengan tamar, sekiranya tiada dengan air zamzam, sekiranya tiada dengan air biasa, sekiranya tiada dengan manisan yang tidak dimasak, sekiranya tiada dengan manisan yang dimasak.

5) Mendatangi doa berbuka sebagaimana hadis kemudian berdoa dengan doa yang diingini.

6) Menjamu orang yang berbuka: Kerana ganjaran yang besar dijanjikan untuknya.

7) Mandi junub sebelum fajar: Bertujuan keluar dari khilaf dan supaya dia memulakan puasa dalam keadaan suci.

8) Mandi setiap malam dari setiap malam Ramadhan selepas Maghrib bagi menguatkan badan untuk mendirikan malam Ramadhan.

9) Menjaga solat tarawih dari awal malam pertama Ramadhan hingga penghujungnya. Sabda Nabi Sollahu’alaihiwasallam: “ Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, nescaya diampunkan baginya apa yang terdahulu dari dosanya”. Dimaksudkan dengan mendirikan Ramadhan ialah Solat Tarawih.

10) Sangat-sangat penting adalah menjaga solat witir: Dikhususkan witir Ramadhan dengan tiga perkara;

- Disunatkan dilakukan secara berjemaah
- Disunatkan membaca kuat
- Disunatkan membaca qunut di separuh terakhir Ramadhan mengikut pendapat yang muktamad

11) Memperbanyakkan membaca al-Quran dengan tadabbur: Diriwayatkan dari athar; “ Bulan Ramadhan bulan al-Quran”

12) Memperbanyakkan amalan sunat seperti solat sunat rawatib, solat Dhuha, solat Tasbih, solat awwabin.

13) Memperbanyakkan amalan soleh seperti bersedekah, menyambung silaturrahim, iktikaf, menghadiri majlis ilmu, beribadah kepada Allah dengan hati dan anggota badan dan membanyakkan doa-doa yang ma’thur.

14) Bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh terakhir Ramadhan untuk mencari Lailatul Qadar terutamanya pada malam-malam ganjil

15) Memastikan berbuka dengan makanan yang halal.

16) Meninggalkan perbuatan mencerca dan perkara sia-sia

** Berkata al-Imam al-Ghazali, puasa itu terbahagi kepada tiga:

- Puasa orang awam iaitu puasa iaitu berpuasa dari perkara-perkara yang membatalkan puasa
- Puasa al-Khawass iaitu berpuasa dari maksiat
- Puasa Khawassil khawass iaitu berpuasa selain dari Allah.

Rujukan kitab: at-Taqriratus Sadidah karangan Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaaf; Murid kepada al-Habib an-Nasib al-'Allamah al-Muhaqqiq Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah

Puasa (Siri 3)



Perincian Masalah Niat

Beza antara niat puasa fardhu dengan puasa sunat

- Niat Puasa Fardhu

1) Masuk waktu niat puasa fardhu dari terbenam matahari hingga terbit fajar dan wajib niat pada waktu malam
2) Wajib untuk menentukan jenis puasa seperti fardhu Ramadhan atau kaffarah atau nazar atau qadha’.
3) Tidak boleh untuk menghimpunkan antara dua puasa fardhu dalam satu hari.

- Niat Puasa Sunat

1) Masuk waktu niat bermula terbenamnya matahari sehingga gelincir matahari; tidak diwajibkan berniat di waktu malam.
2) Tidak diwajibkan menentukan puasa kecuali puasa yang berkaitan dengan waktu seperti Puasa Hari Arafah mengikut pendapat yang muktamad.
3) Dibolehkan untuk menghimpunkan antara dua puasa sunat atau lebih pada hari yang sama.

• Dibolehkan untuk berniat puasa sunat selepas terbit fajar dengan dua syarat:
- Hendaklah niat sebelum gelincir matahari ( sebelum masuk waktu Zohor)
- Tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga waktu dia berniat.

Niat yang paling sempurna: Hendaklah dia melafazkan niat dalam keadaan dia menghadirkan niat itu dalam hatinya; “ Sahaja aku berpuasa esok hari fardhu Ramadhan tahun ini tunai kerana Allah Taala”

** Masalah: Dalam gambaran manakah sah seseorang itu berpuasa sunat dengan niat selepas terbit fajar dalam keadaan dia telah melakukan perkara yang membatalkan puasa sebelum berniat?
- Gambarannya: Apabila kebiasaan baginya berpuasa pada hari-hari tertentu seperti puasa hari Isnin atau Arafah, kemudian dia lupa hari tersebut dan melakukan perkara yang membatalkan puasa. Selepas itu dia mengingati kembali hari tersebut adalah hari Isnin atau Arafah. Maka, sah baginya meniatkan puasa dengan syarat sebelum gelincir matahari.

bersambung.....

Rujukan kitab: at-Taqriratus Sadidah karangan Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaaf; Murid kepada al-Habib an-Nasib al-'Allamah al-Muhaqqiq Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah

Puasa ( Siri 2)


Syarat Sah Puasa

1) Islam: Disyaratkan baginya Islam sepanjang siang tersebut. Apabila dia keluar dari Islam walaupun untuk seketika sahaja, batal puasanya.
2) Beraqal: Disyaratkan berakal sepanjang siang. Sekiranya dia gila walaupun untuk seketika, batal puasanya. Adapun bagi yang pengsan atau mabuk, akan datang keterangannya pada bab yang membincangkan mengenai perkara yang membatalkan puasa.
3) Suci dari haid dan nifas: Disyaratkan seseorang perempuan itu suci sepanjang siang. Apabila keluar haid pada saat akhir dari siang itu, batal puasanya. Begitu juga bagi orang yang suci dari haid dipertengahan siang, akan tetapi sunat baginya untuk menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa (Haram bagi perempuan haid dan nifas menahan diri dengan niat puasa).
4) Mengetahui hari dia berpuasa itu dibolehkan untuk berpuasa: Iaitu hendaklah dia mengetahui bahawa hari yang diingininya untuk berpuasa sah padanya puasa dan tidak termasuk dari hari-hari yang dilarang berpuasa padanya.

Syarat Wajib Puasa

1) Islam: Tidak diperintahkan kepada orang kafir di dunia. Adapun orang yang murtad, wajib ke atasnya qadha’ apabila dia kembali kepada Islam sebagai hukuman kepadanya.
2) Mukallaf: Iaitu hendaklah baligh lagi beraqal.Adapun bagi kanak-kanak, wajib ke atas walinya untuk menyuruhnya berpuasa apabila berumur tujuh tahun dan memukulnya sekiranya dia meninggalkan puasa ketika berumur sepuluh tahun sekiranya dia mampu.
3) Mampu: Iaitu mempunyai kekuatan untuk berpuasa. Mampu terbahagi kepada dua:
- Hissan: Tidak diwajibkan kepada orang tua dan orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh.
- Syar’an: Tidak diwajibkan kepada perempuan haid dan nifas.
4) Sihat: Tidak diwajibkan kepada orang yang berpuasa.
- Dhabit sakit yang dibenarkan berbuka: Orang yang takut rosak dirinya atau melambatkan sembuh atau menambahkan sakit.
5) Bermuqim: Tidak wajib ke atas orang yang musafir – 82 KM – dengan tujuan yang dibenarkan syara’. Di syaratkan – untuk kebenaran berbuka di waktu siang – hendaklah dia keluar musafir sebelum terbitnya waktu fajar. ( Seafdhal-afdhalnya bagi orang yang musafir itu berpuasa sekiranya puasa tidak memberatkan dirinya. Sekiranya puasa memberatkan dirinya, maka berbuka lebih afdhal)

Rukun Puasa

1) Niat: Samada puasa fardhu atau sunat sebagaimana Sabda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam: “ Sesungguhnya amalan itu dengan niat”. Wajib niat setiap hari.
2) Meninggalkan berbuka: Tidak batal puasa sekiranya dia berbuka dalam keadaan terlupa atau dipaksa atau jahil yang dimaafkan kejahilannya.

Jahil Yang dimaafkan kejahilannya ada dua: Jahil kerana jauh dari ulama’ dan jahil disebabkan baru memeluk agama Islam.

bersambung.....

Rujukan kitab: at-Taqriratus Sadidah karangan Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaaf; Murid kepada al-Habib an-Nasib al-'Allamah al-Muhaqqiq Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah

Puasa (Siri 1)


Makna Puasa;

Dari segi bahasa: Semata-mata menahan diri. Antaranya Firman Allah Taala tentang Saidatina Maryam: “ Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan ar-Rahman, maka aku tidak akan sesekali bercakap dengan sesiapa pun hari ini” [Maryam:26] . Iaitu: aku bernazar untuk menahan diri dari berkata-kata.
Dari segi syara’: Menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat yang khusus.

Dalil puasa, Firman Allah Taala;

“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa” [al-Baqarah:183]

Waktu difardhukan berpuasa:

Difardhukan pada tahun kedua hijrah pada bulan Sya’ban. Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam telah berpuasa sebanyak sembilan kali Ramadhan. Semuanya ‘nawaqis’ iaitu 29 hari, kurang sehari untuk sempurna 30 hari.

Bulan Ramadhan:

Bulan yang kesembilan dari bulan-bulan arab dan bulan ini adalah seafdhal-afdhal bulan. Dikatakan bulan ini dinamakan dengan Ramadhan kerana sesungguhnya ketika orang arab meletakkan nama bagi bulan-bulan, ketika itu cuaca berada dalam keadaan panas yang bersangatan. Maka, bulan itu dinamakan Ramadhan dari perkataan ar-Ramdha’ yang member maksud tersangat panas. Dikatakan juga dinamakan dengan Ramadhan kerana sesungguhnya bulan Ramadhan membakar dosa.

Kelebihan berpuasa (Ayat dan hadis yang membicarakan mengenainya banyak):

Firman Allah Taala:

“ (Kepada mereka katakanlah): makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah engkau lakukan pada hari-hari yang telah lalu” [al-Haaqqah:24]

“ …………lelaki dan perempuan-perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatan mereka, lelaki dan perempuan-perempuan yang sentiasa mengingati Allah Taala; Allah Taala menjanjikan bagi mereka ganjaran yang sangat besar”[al-Ahzab:35]

Sabda Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam:

Hadis Qudsi;

“ Setiap kebaikan seperti sepuluh seumpamanya hingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Puasa itu bagiku dan aku yang aku memberi ganjaran dengannya” [Riwayat Imam Malik dalam kitab Muwattho’ dan Imam Bukhari dalam bab puasa]

“ Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, Allah Taala akan menjauhkan antaranya dengan neraka jahannam sejauh perjalanan seratus hari” [Riwayat Imam Nasa’ie]

“ Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka, kegembiraan dengan puasanya ketika bertemu Allah” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

“ Diam orang yang berpuasa itu tasbih, tidurnya ibadah, doanya mustajab, amalannya digandakan (ganjaran)” [ Riwayat ad-Dailami dalam Musnad Firdaus]

“ Puasa itu benteng dan kubu yang menjaga dari neraka” [ Riwayat Imam Ahmad]

Hukum-hukum berpuasa, terbahagi kepada empat ;

Pertama: [wajib] ;puasa Ramadhan, puasa qadha’, puasa kaffarah seperti puasa kaffarah zihar atau pembunuhan atau jima’ di siang Ramadhan, puasa pada hari haji dan umurah sebagi ganti kepada sembelihan untuk bayaran fidyah serta puasa ketika istisqa’ apabila diperintahkan oleh hakim.

Kedua: [Sunat] - dan ia adalah asal bagi puasa - ; terbahagi kepada tiga:

- Berulang mengikut tahun: seperti puasa hari Arafah (disunatkan kepada selain orang yang menunaikan haji), puasa hari tasua’aa dan asyura’, puasa Muharram, enam syawal, puasa bulan-bulan haram (Rejab,Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram), sepuluh awal dari bulan Zulhijjah dan selainnya.

- Berulang mengikut bulan: Hari Putih iaitu hari 13,14,15 setiap bulan dan Hari Hitam iaitu 28,29,30 setiap bulan hijrah.

- Berulang mengikut minggu: Puasa Isnin dan Khamis

Seafdhal-afdhal puasa sunat: Berpuasa sehari, berbuka sehari iaitu puasa Nabi Daud ‘Alaihissalam.

Ketiga: [Makruh]: Berpuasa hari Jumaat sahaja atau Sabtu sahaja atau Ahad sahaja dan berpuasa setahun bagi sesiapa yang bimbang mudarat atau terluput hak melakukan amalan sunat.

Keempat [Haram] : terbahagi kepada dua:

- Haram tetapi sah: Puasa seorang isteri tanpa kebenaran suami dan puasa seorang hamba tanpa kebenaran tuannya.

- Haram dan tidak sah; terdapat dalam lima gambaran: Puasa hari raya puasa dan raya korban, puasa hari tasyriq iaitu 11,12,13 Zulhijjah, puasa separuh terakhir dari bulan Sya’aban bermula dari 16 Sya’aban hingga akhir, puasa hari Syak iaitu 30 Sya’aban.

Masalah: Bilakah boleh untuk berpuasa pada hari syak atau separuh terakhir dari bulan Sya’aban?

- Dibolehkan berpuasa pada hari tersebut dalam tiga keadaan;

1) Apabila puasa itu merupakan puasa wajib seperti puasa qadha, puasa nazar atau puasa kaffarah.
2) Sekiranya puasa itu kebiasaan bagi dirinya seperti puasa Isnin dan Khamis
3) Apabila bersambung dengan hari sebelumnya seperti dia berpuasa pada 15 Sya’aban. Maka, boleh untuknya berpuasa pada 16 Sya’aban, 17 Sya’aban hingga ke akhirnya. Apabila dia berbuka sehari, maka haram untuknya berpuasa selepasnya.

bersambung.....

Rujukan kitab: at-Taqriratus Sadidah karangan Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaaf; Murid kepada al-Habib an-Nasib al-'Allamah al-Muhaqqiq Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah

Kalam Sufi

Sebahagian wasiat para Sufi dalam kalangan Salafus soleh; dipetik dari Kitab al-Manhajus Sawiyy karangan ad-Da’ieyatul Islamiyy al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Habib an-Nasib Zain bin Ibrahim bin Sumaith Hafizohullah:

Habib Umar; anak kepada Habib Zain sedang menyampaikan kalam taujihat kepada pelajar-pelajar Terengganu yang datang menziarahinya

Berkata seorang lelaki kepada Khalifatul Mu’minin Sayyidina Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah: Nasihatkanlah aku…. Khalifah berkata: Elakkanlah dari kamu bercampur dengan orang-orang yang soleh tetapi kamu tidak mendapat manfaat dari mereka, kamu mencela orang yang melakukan dosa tetapi kamu sendiri tidak menjauhi dosa-dosa itu, kamu melaknat syaitan apabila berada bersama manusia, tetapi kamu mentaatinya di waktu kamu berseorangan”.

Berkata al-‘Arif Billah Sayyidina Ibrahim bin Adham Rahimahullah: Aku bersahabat dengan lelaki-lelaki di bukit Lubnan, mereka menasihatiku: “ Sekiranya kamu pulang ke negerimu nasihatilah penduduknya dengan empat perkara: Sesiapa yang membanyakkan makan tidak akan merasa kelazatan dalam ibadah, sesiapa yang membanyakkan tidur tidak akan mendapati keberkatan pada umur, sesiapa yang mencari redha manusia jangan menunggu redha Tuhan, sesiapa yang membanyakkan kata-kata – cakap berlebihan atau mengumpat – tidak akan keluar dari dunia dalam keadaan Islam”.

Berkata as-sufi al-Jalil Zun Nun al-Misri Rahimahullah: Para Salaf Radiallahu’anhum telah menyampaikan tiga wasiat: “ Pertama: Sesiapa yang memperbaiki keadaan di antaranya dengan Allah Taala, Allah Taala akan memperbaiki keadaan antaranya dengan manusia, Kedua: Sesiapa yang memperbaiki dirinya ketika berseorangan, Allah Taala akan memperbaiki dirinya ketika dia berada bersama manusia lain, Ketiga: Sesiapa yang memperbaiki urusan akhiratnya, Allah Taala akan memperbaiki urusan dunianya”.

Maqam Zun Nun al-Misri di Kaherah

Meneladani Akhlak dan Adab Para Ulama' Murabbi

Salah Seorang Ustaz (Pelajar Universiti al-Azhar Dari Terengganu) Memimpin al-Habib an-Nasib al-'Alim al-'Allamah al-Habib Salim as-Syatiri di Perkarangan Rumah-Rumah Negeri di Hayyu Asyir, Kaherah

Antara soalan yang sering diajukan oleh masyarakat umum hari ini banyak berkaitan ilmu tasauf dan kepentingannya. Mereka seolah-olah merasa sangsi dengan salah satu dari cabang ilmu Islam itu. Tidak tahulah sebab dan puncanya. Mungkin kerana tersilap mendapat maklumat dan penerangan mengenainya dari orang-orang yang tidak layak untuk menghurainya.

Hakikatnya, Tasauf Islam merupakan satu Tarbiyyah Ilmiah dan Amali untuk jiwa bertujuan mengubati penyakit hati, memupuk sifat mahmudah, membuang sifat mazmumah, menundukkan syahwat di samping melatih diri dengan kesabaran dan redha dalam melakukan ketaatan.

Berkata Abu Muhammad al-Jariri: “ Tasauf adalah memerhatikan dan muhasabah setiap tindakan dan melazimi adab-adab yang baik”. Makna adab – sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Imam al-Qusyairi dalam risalahnya – adalah himpunan kebaikan yang menghasilkan kefahaman dalam agama, zuhud kepada dunia dan mengenali Allah Taala dengan sebenar-benarnya.

Beradablah Dengan Para Ulama'

Secara realitinya, apabila masyarakat Islam itu sendiri mengabaikan soal adab dalam kehidupan mereka, zahirlah pelbagai masalah dan kerosakan dalam masyarakat. Mereka lupakan adab yang perlu dijaga dengan Tuhan Pencipta begitu juga dengan makhluk ciptaanNya. Ibadah seharian sudah lagi tidak dijaga, perintah Allah Taala dipersoalkan. Mereka mempersoalkan para ulama’ dan cuba mendahului ulama’ dalam mengeluarkan pendapat dan fatwa berkaitan ilmu agama. Tidak ada lagi rasa hormat kepada orang yang mesti dihormati. Ulama’ dicela, ibu bapa dihina, orang yang lebih tua dimaki, orang yang lebih muda dibuli, tidak ada lagi perasaan rendah diri dan tawadhu’ sesama mu’min.

Semoga ruangan yang ada ini mampu menghimpunkan mutiara hikmah dari kalam-kalam ulama’ murabbi dalam membentuk jiwa mu’min yang sejati. Usaha-usaha untuk mempersoalkan ‘title’ yang diberi kepada para ulama’ yang telah diperakui ilmunya seluruh dunia adalah kerja jahat yang perlu disekat dari menghantui masyarakat. Insyaallah, blog ini akan sentiasa membawa anda untuk berada di samping para ulama’. Juga menghuraikan sirah-sirah perjalanan hidup para auliya’ dan orang-orang soleh yang terdahulu untuk dicontohi dan diteladani.

Ulama' Pewaris Para Nabi

Walaupun kadang-kadang kita tidak sempat untuk duduk bersama mereka, semoga kata-kata nasihat mereka mampu untuk memimpin kita semua untuk lebih mengenali hakikat bahawa kita hanyalah seorang hamba kepada Allah Taala Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Ciri Pemuda Bertaqwa: Lawan Kehendak Nafsu, Tinggalkan Maksiat, Dirikan Ibadah dan Taat

Sabda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam:
“ Tujuh golongan; Allah Taala menaungi mereka di bawah naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya…. Antara mereka: pemuda yang hidup dalam ibadah kepada Allah….."

Dalam riwayat Salman: “ menghabiskan masa muda dan masa cergasnya dalam keadaan beribadah kepada Allah”

Dikhususkan dalam sabda Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam dengan lafaz ‘pemuda’ kerana keadaan manusia ketika muda biasanya mempunyai gelora nafsu untuk melakukan maksiat yang lebih kuat dari keinginan untuk mengikut petunjuk dan hidayah. Oleh itu, sekiranya para pemuda berjaya melazimi ibadah dan mampu melawan nafsu serta meninggalkan maksiat, sesungguhnya keadaan itu lebih mendekatkan diri mereka untuk memperolehi ketaqwaan yang hakiki.

Firman Allah Taala:

“ Adapun sesiapa yang melampaui batas dan memilih kehidupan dunia, maka baginya neraka sebagai tempat tinggalnya. Dan adapun sesiapa yang takut dengan maqam Tuhannya dan menahan dirinya dari menurut kehendak nafsunya, maka baginya syurga sebagai tempat tinggalnya..”
[an-Nazi’at: 36-41]

Tabiat dalam jiwa manusia sentiasa mengajak untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah Taala. Lalu, al-Quran hadir memberi isyarat kepada manusia supaya menjauhi maksiat kepadaNya. Allah Taala mengehendaki supaya kita semua melawan kehendak hawa nafsu yang mendorong kepada maksiat dan Dia memalingkan kita ke arah ketaatan kepadaNya. Apa yang diinginkan oleh Allah Taala adalah supaya hambaNya mempunyai keazaman yang kuat untuk menjauhi dosa, sentiasa memperbaharui niat dan membangkitkan dalam diri mereka rasa pergantungan yang sebenar kepadaNya, RasulNya dan syariatNya yang mulia.

Gambar Hiasan

Hayati bersama kalam menarik dari Saidina Umar Radiallahu’anhu di bawah;

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dalam kitabnya, ‘Zuhud’ bahawa Amirul Mu’minin al-Farooq Saidina Umar bin al-Khattab Radiallahu’anhu pernah ditanya dengan satu soalan yang sangat menarik:

“ Wahai Amirul Mu’minin, antara orang yang mempunyai keinginan untuk melakukan maksiat dan mereka meninggalkannya; manakah yang lebih baik dengan orang yang tidak mempunyai keinginan untuk melakukan maksiat dan mereka tidak melakukannya? Siapakah yang lebih afdhal dan lebih bergantung kepada Allah Taala? ”

Lalu Saidina Umar Radiallahu'anhu menjawab:

“ Sesungguhnya orang yang mempunyai keinginan untuk melakukan maksiat dan dia meninggalkannya, itulah orang yang diuji hati mereka untuk memperolehi taqwa. Baginya keampunan dan ganjaran pahala yang sangat besar di sisi Allah Taala.”


Hidup ini hakikatnya adalah ujian sebelum bertemu Allah Taala di hari kiamat. Kejayaan meninggalkan maksiat adalah kejayaan di dunia dan di akhirat. Apabila hati manusia disinari dengan cahaya hidayah, seluruh anggotanya pasti akan diarahkan untuk melakukan ibadah dan taat.

Wallahua’alam……