Followers

Selamat Pengantin Baru Ahmad Muzani

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w.b.t.

"Barakallhulakuma wabara alaikuma wajamma'a bainakuma fil khair"

Alhamdulillah dan setinggi syukur kepada Allah s.w.t. kerana mengurniakan nikmat kepada hamba-hambanya. Syukur yang tidak terhingga kerana Engkau telah mempertemukan dua orang hamba-Mu dijalan yang engkau redhai.

Tahniah kepada saudara Ahmad Muzani bin Abd Rahman yang akan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya saudari Siti Norul Aini Hasmidar bt Md Razali pada 20 Mei 2010 ini. Bertempat di kompleks Asrama Darul Iman @ Rumah Terengganu, Kaherah, Mesir. Pada hari Khamis pagi InsyAllah.

Rasanya, kalau tidak silap inilah buat pertama kalinya pelajar atau lepasan Kostaq yang akan mendirikan rumah tangga. Maaf kalau ada lepasan KOSTAQ yang telah mendirikan rumah tangga @ bait Muslim terlebih dahulu. Rasanya, belum ada.

Untuk makluman semua, Ahmad Muzani merupakan pelajar generasi pertama Kolej Sains & Teknologi Al-Quran YT Besut. Sering tampil menjadi vokalis nasyid dan qari Al-Quran semasa di sekolah dahulu. Kemudian selepas menamatkan Peperiksaan Menegah Rendah (PMR) di Imtiaz Dungun, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Sek. Men. Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, [SMAASZA] Batu Burok, Kuala Terengganu.

Dan kini melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Ijazah Sarjana Muda (BA) dalam bidang Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dan baru tahun pertama disana. Pasangan beliau pula saudari Siti Norul Aini Hasmidar bt Md Razali seorang yang aktif dalam persatuan semasa di SMAASZA. Sama-sama menamat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di SMAASZA dan kini menuntut di Universiti yang sama dan jurusan yang sama dengan pasangan beliau.

Sama-samalah kita mendoakan kebahagiaan Ahmad Muzani dan pasangannya sehingga ke ahir hayat. InsyaAllah. Akhir kalam, Barakallahulakuma wabaraka alaikuma wa jamma'a bainakum fil khair' Amin..

p/s : Lepas ni giliran sape pulak yer? Senior2 tak tercabar ke nak mengikut jejak langkah Muzani? Hehe..

Petikan Awal Dari Ucapan Al-Da'eiyatul Al-Islamiyy Al-'Alim al-'Allamah Al-Habib An-Nasib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz Hafizohullah

" Segala puji bagi Allah yang mengumpulkan kita untuk Dia memberi manfaat kepada kita, memberikan taufiq kepada kita berdoa kepadaNya untuk Dia mendengari rintihan kita, menjalankan di atas lidah dan hati kita dengan zikir mengingatiNya untuk Dia juga mengingati kita, dan mengizinkan adanya peringatan dengan hukum-hakamNya serta dekat denganNya dan RasulNya Sollallahu'alaihiwasallam untuk diperingatkan hati kita, menyebarkan rasa saling menyayangi untuk Dia mencintai kita, menjadikan perhimpunan ini perhimpunan kebaikan untuk kita selamat di hari perhimpunan paling besar di Hari Kiamat.

Dialah Allah Taala yang berfirman dalam Hadis Qudsi:

" Wajiblah kasih-sayangKu kepada sesiapa yang saling menyayangi keranaKu, orang yang saling berkumpul keranaKu, saling menziarahi keranaKu".

Rasululullah Sollahu'alaihiwasallam, Sayyidina Al-Musthafa telah menyampaikan apa yang diamanahkan untuk disampaikan kepada kita. Dialah yang paling benar dari seluruh makhluk, orang yang diberi amanah oleh Tuhan Sekalian Alam, orang yang disucikan dengan peringatan yang bijaksana (Al-Quran). Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam tidak berbicara menurut hawa nafsu melainkan semuanya adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Sabda Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim;

" Sesungguhnya sesiapa yang berkumpul untuk mengingati Allah Taala, sesungguhnya Allah Taala menyeru malaikat; aku bersaksi kepada kamu wahai malaikat sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka semua". Berkata sebahagian malaikat; " Di antara mereka ada hamba yang banyak melakukan dosa, mereka hadir bukan untuk mengingatiMu tetapi kerana hajat lain lalu mereka duduk bersama mereka". Firman Allah Taala: " Baginya juga keampunanKu. Mereka adalah kaum yang tidak akan ditimpa kecelakaan kepada sesiapa yang bersama mereka."

Begitulah fadhilat yang Allah berikan kepada kita dan kepada manusia. Akan tetapi, kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Ustaz Zul menyampaikan ucapan sambil diperhatikan oleh Habib Umar

Syeikh Zulkifli (Ust Zulkifli Al-Yamani) telah mengingatkan kita - semoga Allah Taala memberkatinya dan menambahkan kebaikan kepadanya (amin) - dengan hakikat kaitan hubungan hati dengan perasaan mahabbah. Dia telah mengingatkan tentang sejarah negeri kamu, sesungguhnya hubungan dengan Allah Taala dan RasulNya Sollallahu'alaihiwasallam datang ke sini hasil dakwah dan pengajaran ahli bait Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Meresap perasaan cinta itu ke dalam hati, maka didapati hati yang bersih tumbuh padanya.

Demi Allah Yang Maha Agung, tidak ada satu perkara yang lebih besar dan lebih berharga yang dibawa apabila berhimpunnya makhluk di hari kiamat melainkan perasaan cinta. Tidak ada seorangpun samada yang kaya ataupun miskin melainkan sangat mengimpikan untuk bertambah kecintaan kepadaNya. Begitu juga pemimpin mahupun rakyat mengharapkan bertambahnya rasa cinta ini di dunia. Begitulah orang muda mahupun tua, lelaki mahupun perempuan masing-masing mengharapkan pertambahan rasa cinta itu di saat berkumpulnya manusia di Hari Kiamat.

Sehinggakan orang kafir yang zalim serta melampaui batas berangan-angan untuk mempunyai ikatan hubungan dengan Rasul Pilihan Sollallahu'alaihiwasallam. Tidak ada seorangpun ketika itu mengharapkan kepada hubungan dengan mana-mana negara ataupun masyarakat. Samada negara itu negara besar mahupun kecil, maju dan berkembang ataupun mundur. Begitu juga tidak ada seorangpun akan berharap untuk mempunyai hubungan dengan mana-mana badan, pertubuhan ataupun organisasi. Akan tetapi, semuanya akan mengharapkan untuk mempunyai hubungan dengan Sayyidina Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam.

Firman Allah Taala;

" Dan (ingatlah) kepada Hari orang-orang yang zalim akan menggigit jarinya seraya berkata; aduhai kiranya dulu aku bersama dengan Rasulullah"


Dia mula mengingati mengenai hubungan yang tidak dibina atas dasar rasa sayang kerana Allah Taala dan Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam serta rasa sesal dengan perkara tersebut. Mereka berkata sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Taala;

" Alangkah rugi dahulunya aku tidak mengambil si fulan ini sebagai teman"

Apakah alamat orang yang asalnya bersahabat kemudian bermusuh serta menyesal atas persahabatannya?

Alamatnya adalah mereka dijauhkan dari zikir dan beradab bersama syara'. Terpedaya dengan pemikiran kuffar, pandangan yang fasiq. Tidak ada padanya yang menciptakannya, tidak ada padanya yang memberi rezeki kepadanya untuk membantunya. Tidak ada baginya orang yang membawanya menuju cahaya.

Tidak ada yang akan memberi syafaat kepada mereka di Hari Kiamat,
Mereka berkata sebagaimana yang disebut oleh Allah Taala menerusi FirmanNya;

" Aku telah tersesat dari peringatan setelah mana peringatan itu datang kepadaku.."

Amatlah beruntung orang yang sentiasa bersama mengajak untuk saling mengingati Allah dan beramal dengan perintahNya di atas dunia.

Perhatikanlah kepada niatmu wahai semua yang menghadiri majlis bersamaku hari ini di tempat ini. Sesungguhnya kita sedang menghadap Ar-Rahman dan Allah Taala sedang melihat kepada hati kita.

Jangan sesekali kamu terlepas peluang. Bukan setiap masa kamu akan dapati peluang seumpama saat ini. Bukan semua perhimpunan dilimpahi dengan limpahan kebaikan seumpama ini dan bukan semua himpunan akan terjalin hubungan yang erat seumpama ikatan yang terpaut kukuh di saat ini.
Dan jadilah orang yang hadir dalam majlis bersama kami malam ini kerana Allah, mengharapkan kepada keredhaan Allah. Apabila kuatnya iman dalam dirimu dan tingginya himmah kamu, maka jadilah kamu orang yang duduk bersama kami dalam majlis ini kerana Allah.

Allah Taala dalam Hadis Qudsi berfirman;


" Aku bersama orang yang mengingatiKu"

Dalam hadis yang lain dalam Kitab Shahih Imam Bukhari dan Imam Muslim, Allah Taala berfirman;

" Dan aku bersamanya ketika dia mengingatiku.."

Maka, dengan hatimu, berzikirlah kepada Allah Taala wahai sekalian hadirin. Rasakanlah dalam jiwamu kebesaran Allah Taala. Perhatikanlah perhatian Allah Taala kepadamu, pengetahuanNya Yang Maha Luas mengenaimu. Yakinlah bahawa apa yang ada dalam hatimu adalah sama pada pengetahuan Allah Taala seumpama zahirmu. Samada yang tersembunyi darimu ataupun yang jelas terang nampak darimu.

" Sesungguhnya Allah Taala tidak akan tersembunyi darinya sesuatu pun samada di langit mahupun di bumi"

Orang-orang yang merasai hakikat ini akan selamat di hari dibentangkan amalan di hadapan Allah Taala. Mereka akan berjaya dengan perlindungan Allah Taala dan pengampunanNya.

Pada hari yang disebut oleh Allah melalui firmanNya;

" Pada hari yang dibentangkan amalan dan tidak akan tersembunyi darimu perkara yang tersembunyi"

" Pakaian Taqwa Adalah Yang Terbaik ..."


Segala puji bagi Allah yang menjadikan ikatan antara amalan kebaikan. Dia menjadikan kebaikan yang kecil dan sedikit itu membawa kepada kebaikan yang besar dan lebih banyak. Begitulah keburukan itu saling mempunyai kaitan; sesiapa yang memandang sesuatu keburukan itu kecil akan membawanya kepada keburukan yang lebih besar. Sesiapa yang bermudah-mudah dengan dosa kecil akan menyebabkan dia tergelincir melakukan dosa besar.

" Jangan kamu memandang rendah dari sesuatu amalan kebaikan itu sedikitpun walaupun dengan kamu bertemu saudaramu dengan wajah yang manis"

Oleh sebab itu, Allah Taala sentiasa mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan dosa kecil sebagai penyelamat dari melakukan dosa yang lebih besar. Apabila seseorang berusaha untuk menjaga amalan-amalan sunat, usaha tersebut akan menampung serta menambahkan rasa khusyuk dan khudu' dalam melakukan amalan fardhu. Sesungguhnya menjaga adab itu adalah rahsia untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala, menjadi penyebab kepada pengurniaan Allah Yang Maha Pemberi Kurnia tanpa hisab serta jalan untuk memperolehi keredhaanNya yang melampaui segala khayalan akal manusia.

" ....... dan keredhaan Allah Taala itu lebih besar, yang demikian itu adalah satu kejayaan yang sangat besar"

Semoga Allah Taala memuliakan kita dengan keredhaan ini, amin.

Sesungguhnya Allah Taala menjadikan matlamat dan tujuan bagi setiap ibadah yang akan menghasilkan kebaikan untuk hambaNya. Allah Taala tidak berhajat kepada makhlukNya sedikitpun. Indahnya sentuhan peringatan dari Allah Taala menerusi KalamNya yang mulia;

" Jika kamu berbuat kebaikan, kebaikan itu untuk dirimu sendiri. Sekiranya kamu melakukan keburukan, keburukan itu akan menimpamu..."

Jumaat merupakan kebiasaan hari diingatkan kepada kaum Muslimin kepada taqwa. Namun, bukan bererti taqwa itu hanya terhenti untuk hari-hari tertentu. Segala amalan kebaikan yang diperintahkan oleh Allah Taala untuk dilakukan adalah bertujuan untuk melahirkan hamba yang sedia tunduk dan patuh kepadaNya. Mengapa begitu? Kerana kita hanyalah sekadar hamba kepadaNya.

Pakaikanlah pada diri dengan pakaian yang tidak akan ditanggalkan oleh musuh-musuh terutama iblis yang sentiasa berusaha merosakkan kita. Apakah pakaian itu? Dengarlah Firman Allah Taala dalam Al-Quran Al-Karim;

" Wahai anak-anak Adam, telah diturunkan ke atasmu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian yang indah sebagai perhiasan. Dan pakaian taqwa adalah yang terbaik. Yang demikian itu adalah sebahagiaan dari tanda-tanda kekuasaan Allah mudah-mudahan mereka mengambil peringatan. Wahai anak-anak Adam, janganlah sekali-kali kamu terfitnah dengan tipu daya syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga...."

Disebut dalam 'Athar bahawa seseorang hamba itu tidak akan mampu mencapai darjat taqwa sehinggalah dia meninggalkan perkara yang tidak ada keburukan padanya bertujuan untuk menjaga dirinya dari perkara yang akan membawa keburukan padanya. Sesungguhnya sebahagian sahabat berkata: " Kami meninggalkan 19 perkara yang halal kerana bimbang jatuh ke dalam perkara yang haram".

Perhatikan, adakah seseorang yang sentiasa bermudah-mudah dalam beramal akan mampu mewarisi sifat taqwa? Sesetengah manusia mencari fatwa-fatwa yang bersesuaian dengan hawa nafsu mereka. Sebagai contoh: apabila mereka ingin memperolehi keuntungan yang besar dalam perniagaan mereka, dia sudah tidak mempedulikan hukum agama. Apabila seorang yang 'alim yang bertaqwa lagi wara' menfatwakan bahawa perkara yang dilakukannya adalah bertentangan dengan syariat atau tidak digalakkan oleh Islam, dia akan berusaha mencari orang lain yang akan mengatakan perkara yang dilakukannya itu bukanlah bermasalah.

Seolah-olah dia menginginkan manhaj Allah Taala itu mengikutinya, bukannya dia yang mesti mengikut manhaj yang telah ditetapkan oleh Allah Taala.

Di manakah berbakinya taqwa di sisi orang yang sentiasa bermudah-mudah dengan amalan kebaikan serta memperkecilkannya? Golongan seumpama ini sentiasa berusaha mencari fatwa yang bersesuaian dengan nafsunya. Sesungguhnya taqwa hanya mampu diwarisi oleh manusia yang zuhud dan wara' yang meninggalkan perkara yang halal bagi mengelakkan diri terjebak dalam perkara haram. Begitulah amalan para sahabat dan ulama' yang soleh.

Bertegur sapa dan bertanya khabar sesama mu'min adalah digalakkan untuk mengeratkan lagi ukhuwwah Islamiah. Tidak menjadi masalah meluangkan masa untuk duduk bersama-sama rakan-rakan selagimana tidak diisi dengan mengeji manusia dan mengumpat mereka. Kawallah diri dari membincangkan topik-topik yang pada asalnya dibolehkan sekiranya perkara yang dibincangkan itu akan menjurus kepada mengumpat dan mengata kawan-kawan yang lain.

Hari ini sukar untuk memahami amalan para sahabat. Bagaimana mereka meninggalkan perkara yang halal kerana bimbang jatuh dalam perkara haram? Memang sukar untuk menghayatinya apabila kehidupan hari ini terlalu banyak bergelumang dengan perkara yang haram.

Kebimbangan para sahabat terdahulu untuk melakukan sesuatu yang halal kerana takut terjatuh dalam perkara haram lebih tinggi berbanding kebimbangan kita dalam melakukan perkara haram. Manusia hari ini tidak pernah merasa takut untuk melakukan amalan yang akan membawa keburukan kepadanya di Hari Akhirat.

" Mereka mengetahui yang zahir dari kehidupan dunia dalam keadaan mereka lalai dengan Akhirat"

Lihatlah manusia, apabila diumumkan bahayanya penyakit H1N1 yang menyerang dunia, masing-masing sibuk menyiapkan diri mereka dengan segala persiapan. Walaupun berita mengenainya berlaku di negara yang jaraknya beribu batu dari mereka. Bimbang kepada perkara yang boleh jadi benar, boleh jadi tidak. Mengapa dalam urusan akhirat mereka tidak bersikap sebegitu?

Sesungguhnya kita berada di zaman fitnah yang memerlukan pergantungan diri sepenuhnya kepada Allah Taala. Berusahalah untuk meninggalkan segala perkara yang dimurkaiNya bagi mengelakkan bala Allah Taala menimpa. Semoga kita semua dikurniakan taqwa yang sebenar-benarnya.

" Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan jangalah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menyerah diri kepadaNya"

Wajib Mempelajari Cara Mencintai Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam

Tidak ada sesuatupun yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam melainkan ianya adalah bekalan terbaik menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kita telah sampai di zaman berleluasanya masalah dan maksiat dalam masyarakat, hati manusia menjadi keras, umat Islam ditindas. Semuanya berpunca dari dosa kita sendiri sebelum menyalahkan orang lain dengan masalah yang menimpa. Apakah ada jalan keluar darinya? Penyelesaiannya adalah taubat kepada Allah Taala, kembali kepada Allah Taala dan menjadikan Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam sebagai contoh teladan dalam seluruh kehidupan kita.

Bagaimanakah caranya untuk bertaubat serta melepaskan diri dari dosa dan nafsu?

Banyakkan berselawat ke atas Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam di waktu siang dan malam. Sesungguhnya mengingati Allah Taala itu menenangkan hati. Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam adalah salah satu dari penyaksian dalam kalimah syahadah yang kita ucapkan. Tidak sempurna keimanan mahupun menjadi Islam dengan hanya mengucapkan 'Lailahaillallah' tanpa menyatakan 'Muhammadur Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam'.

Setiap amalan mungkin ditolak atau diterima melainkan perkara yang bersangkutan dengan Insan dan Jiwa Agung Sayyidina Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam. Solat, puasa, zakat , haji dan amalan-amalan lain yang kita lakukan boleh jadi diterima atau ditolak. Adapun selawat ke atas Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam, Allah Taala menerimanya kerana ianya berkaitan dengan kekasihNya Sollallahu'alaihiwasallam.

Menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Islam hari ini untuk mempelajari cara mencintai Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Umat Islam hari ini kosong jiwanya. Kosong dari mencintai Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Akhlak Baginda Sollahu'alaihiwasallam, agamanya, sifatnya, peribadinya, tarbiyahnya, manhajnya, kecintaan kepadanya telah luput dari rumah-rumah umat Islam hari ini. Rumah mereka diisi dengan perkara yang melalaikan. Ingatan mereka hanya kepada dunia seolah-olah mereka akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.

Bahkan, di masjid-masjid juga telah luput darinya sunnah tinggalan Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Sebagai contoh; antara sunnah adalah memasuki masjid dengan kaki kanan. Sesetengah dari pengunjung rumah Allah tidak mengambil cakna mengenainya. Para ulama' menyatakan amalan ini meninggalkan kesan pada hari kiamat iaitu sesiapa yang menjaga supaya tidak memasuki masjid melainkan dengan kaki kanannya, nescaya kakinya tidak akan tergelincir ketika melintasi titian sirath di hari kiamat. Begitu juga dengan amalan iktikaf. Ramai yang terlepas dari fadhilatnya.

Sedarlah wahai umat Islam, kita telah jauh dari Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Berusahalah untuk mendidik jiwa untuk mencintainya. Elakkan dari dunia bergantung di hati supaya sinar cahaya yang dibawa oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam mampu memasukinya.

Mulakan dahulu dengan sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Sollallahu'alaihiwasallam...

Peluang Bersama Ulama' Murabbi Untuk Semua Rakyat Malaysia


Hiasi Jiwa Dengan Zikir

Sedar ataupun tidak, kita telah memasuki separuh kedua dari bulan Muharram. Bermakna, telah 15 hari umat Islam menyambut Tahun Baru Hijrah 1431. Masing-masing membawa azam baru dengan harapan segala amalan kebaikan yang dilakukan pada tahun sebelumnya diterima Allah Taala di samping segala dosa dan kesilapan mendapat keampunan dariNya.

Mengingati peristiwa Maal Hijrah bukan seperti menghafal sejarah-sejarah lain. Maal Hijrah membawa kita mengenang sirah perjalanan hidup Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Pengorbanan Baginda Sollallahu'alaihiwasallam dalam usaha menyampaikan dakwah Islam ke seluruh alam adalah satu perkara yang sangat unik dalam jiwa umat Islam yang menghayatinya. Perjuangan tersebut diteruskan pula oleh para sahabat kemudiannya para auliya'Nya dalam kalangan para ulama' yang dipilih sebagai pewaris perjuangan para Anbiya' 'Alaihimussolatuwassalam yang terdahulu.

Jumaat adalah antara hari-hari yang sentiasa dibangkitkankan dalam diri kita untuk mengingati Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollahu'alaihiwasallam. Antara amalan yang sangat dituntut pada hari yang dikenali sebagai penghulu segala hari ini adalah amalan berselawat ke atas Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Pernahkah kita melakukan satu muhasabah sepanjang kita dilahirkan di atas dunia ini; banyak manakah selawat yang pernah diungkapkan oleh lisan kurniaan Allah Taala ini? Atau perkataan-perkataan yang tidak berfaedah lebih banyak keluar dari dua bibir anugerah Allah Taala itu?

Realiti hidup hari ini penuh dengan kelalaian. Kita dilalaikan dari mengingati Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam. Marilah sama-sama kita mendidik jiwa supaya benar-benar mencintai Allah Taala dan Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam. Jujur; kita masih jauh dari mengingatinya. Jauh kerana dihanyutkan oleh hasutan hawa nafsu yang sentiasa membawa kita untuk memenuhi kehendak syaitan.

Amalan yang digalakkan untuk umat Islam mengamalkannya di hari Jumaat adalah bacaan Surah Al-Kahfi. Berusahalah sedaya-upaya untuk mengamalkannya. Allah Taala berfirman di dalam Surah Al-Kahfi;

" Adakah kamu mengambilnya (syaitan) dan zuriatnya sebagai penolong selainKu sedangkan mereka itu adalah musuh bagimu? Amatlah buruk balasan bagi orang-orang yang zalim"

Kalau terasa payah untuk membina jiwa yang sentiasa mengingati Allah Taala dan RasulNya Sollahu'alaihiwasallam, marilah kita sama-sama mulakannya dengan hari Jumaat yang mulia.

Semoga dikurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat, amin. Jom mulakan langkah menuju Jannah......


Merindui Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam

Melihat perbicaraan manusia mengenai idola dan bintang pujaan masing-masing, kadang-kadang terfikir: di manakah letaknya Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam dalam jiwa mereka? Pernahkah mereka berusaha untuk mengkaji dan menerokai peribadi agung ini untuk diteladani? Wallahua'alam.

Para sahabat menjadi generasi mulia apabila hidup sezaman dan melihat sendiri keindahan luaran dan peribadi Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam. Para ulama' muslimin bersepakat bahawa orang yang hidup sezaman dengan Baginda Sollahu'alaihiwasallam tetapi tidak melihatnya tidak dikira sebagai sahabat. Oleh sebab itu, umat Baginda Sollahu'alaihiwasallam yang diberi rahmat untuk melihat Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam dalam mimpi telah diberi satu kurniakan yang agung kerana Baginda Sollahu'alaihiwasallam sendiri telah bersabda; " Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, sesungguhnya dia telah melihatku" -Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim-

Para sahabat sangat taajub dengan keindahan Baginda Sollahu'alaihiwasallam sehingga mereka tidak mampu menggambarkannya dengan bahasa lisan. Berkata Sayyiduna Hasan bin Thabit Radiaallahu'anhu;

وأجمل منك لم تر قط عيني‏ ..‏ وأكمل منك لم تلد النساء

خلقت مبرءا من كل عيب ‏..‏ كأنك قد خلقت كما تشاء


Yang lebih cantik darimu tidak pernah dilihat oleh mataku....Yang lebih sempurna darimu tidak pernah dilahirkankan oleh mana-mana perempuan....

Kamu dicipta dalam tanpa sebarang keaiban... Seolah-olah kamu dicipta mengikut kehendakmu

Para Habaib dalam kalangan Ahli Bait Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam

Ulama' adalah pewaris para nabi. Mampu untuk berada dalam majlis para ulama' murabbi adalah satu kurniaan dari Ilahi. Semoga melihat wajah-wajah bercahaya yang mewarisi cahaya-cahaya Baginda Sollahu'alaihiwasallam ini merupakan satu jalan menyucikan hati sehingga hilangnya hijab yang menghalang diri kita untuk melihat keindahan Baginda Sollahu'alaihiwasallam.

Mungkin ramai yang masih tidak tahu kelebihan melihat wajah para ulama'. Seronok mempamerkan wajah kita yang tidak tahu di mana nurnya sehingga terlupa untuk melihat wajah-wajah yang disinari cahaya keimanan ini? Belajarlah untuk lebih menyimpan gambar para ulama' yang jiwanya sentiasa hidup bersama Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam.

Lazimi untuk sentiasa mengingati Baginda Sollahu'alaihiwasallam. Biarlah rasa cinta itu sentiasa subur dengan baja ketaatan. Jangan biarkan ia rosak dengan kemaksiatan yang kita lakukan.

Belajarlah untuk hiburkan jiwa anda dengan mengingati Rasulullah Sollahu'alaihiwasallam.